Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bagi mengelak perkara melalaikan, penyanyi lagu dakwah Opick membuat peraturan khas melarang penggunaan televisyen di sekolah agama yang didirikan tidak jauh dari rumahnya.

Berbeza dengan kebanyakan artis yang mementingkan gaya hidup masa kini, penyanyi kelahiran Jawa Timur Indonesia itu mengakui tidak berasa ketinggalan tanpa kemudahan yang dianggap penting bagi sesetengah orang itu.

"Sudah lama saya tidak menonton televisyen kerana di pesantren (sekolah agama) tidak mempunyai peralatan itu.

“Kami semuanya tidak menonton televisyen sebaliknya banyak menghabiskan waktu menghafal al-Quran. Jika ada, nanti mulalah nak tengok filem atau muzik,” katanya.

Opick atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus, 43, ditemui pada sidang media pelancaran album ke-19, Allah Bersamamu di Damansara Perdana, Petaling Jaya semalam.

Pengurus Pusat Pendidikan Tombo Ati itu mengakui banyak menghabiskan waktu di sekolah agama yang terletak di Jakarta itu.

Selain mengekang pengaruh televisyen, Opick turut memilih pendekatan berbeza bagi berkongsi perkembangan terbarunya.

Akaun media sosial

Berbanding penyanyi lain, Opick berkata, dia lebih selesa terlibat dalam seni hiburan tanpa menggunakan akaun seperti Facebook mahupun Instagram secara aktif.

Segala kemaskini dalam media sosial diuruskan oleh anaknya atau pihak pengurusan kepada penyanyi yang popular menerusi lagu Rapuh, Bila Waktu dan Dealova itu.

“Saya langsung tidak membaca apa jua komen atau kisah yang dilaporkan mengenai saya di media sosial. Sejujurnya, saya tidak tahu apa kepentingan media sosial.

“Sekalipun ada sesuatu mengenai saya menjadi tular, saya doakan agar Tuhan yang akan sampaikan perkara itu (dengan cara lain),” katanya.

Allah Bersamamu

Sementara itu, mengulas mengenai Allah Bersamamu, Opick berkata album bertemakan kemanusiaan itu diinspirasikan daripada situasi menyayat hati yang berlaku di kalangan umat Islam di seluruh dunia ketika ini.

Opick turut berharap album itu dapat menjadi penawar kepada mereka yang dilanda musibah agar sentiasa mengingati Allah.

“Album ini mengajak pendengar yang bersedih untuk mengingati bahawa Allah sentiasa bersama-sama mereka dalam berdepan pelbagai cabaran dan dugaan,” katanya.

Lihat Komen
ADS