Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Perdana Menteri D'herbs mengeluh harga minyak mahal
Diterbitkan:  Oct 4, 2017 1:47 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Datuk Aliff Syukri merungut kerana tidak mampu melaram sebagai 'perdana menteri' dengan kenderaan mewah Rolls Royce yang dimilikinya.

Jutawan kosmetik itu memberitahu, kenderaan itu memerlukan dia berbelanja besar disebabkan harga harga minyak yang mahal di samping cukai jalan mencecah RM60,000 setahun.

Akibat tidak dapat menampung kos bahan bakar yang tinggi, Aliff berkata kereta itu kini tersadai dan tidak dapat lagi dipandu.

“Kesian kereta ni dah setahun tidak bawa sebab minyak mahal lepas tu pening. Bayar cukai jalan RM60,000, rugi je,” katanya menerusi Instagram.

Secara berseloroh, Aliff berkata kereta dengan nombor pendaftaran PMD itu bermaksud Perdana Menteri D’herbs.

Dua tahun lalu Aliff pernah memuat naik gambar Rolls Royce berkenaan bagi berkongsi pengalamannya pernah berjalan kaki ke pejabat kerana tidak memiliki kenderaan.

Namun, semalam pemilik akaun Instagram yang memiliki lebih 2 juta pengikut itu tiba-tiba berhasrat menyewakan kenderaan itu bagi mengelak terus menanggung kerugian.

“Saya nak sewakanlah untuk korang. Jika anda di luar sana ingin mencari kereta untuk disewa untuk penggambaran filem atau perkahwinan ke bolehlah hubungi atau whatsapp di no xxxxxx pengawal keselamatan saya Abang Jo,” katanya.

Menerusi etri lain, Aliff turut mengeluh kerana permohonan untuk memasang cermin gelap ke atas empat buah kereta kepunyaannya ditolak pihak berkuasa.

Dalam posting berkenaan Aliff merayu agar permohonannya diterima bagi mengelakkan dirinya disaman.

“Dah mohon kena tolak tak mohon kena saman. Kalau tak pakai (cermin gelap) hidup saya tak tenteramlah tuan polis tolonglah saya,” katanya.

Orang kaya tak boleh bayar minyak?

Sementara itu, status Aliff mengenai kereta mewah dimilikinya dan harga minyak mahal mengundang pelbagai reaksi daripada peminat.

Ada yang memuji pencapaian Aliff dalam bidang perniagaan, namun ada juga segelintir pihak menyindir dan mempersoalkan kekayaan Aliff kerana mampu membeli kereta mewah tetapi tidak dapat membayar harga minyak.

“Ade ke orang kaya bising pasal minyak ni? Jarang orang beli kereta mewah tanya pasal minyak kereta,” kata pengguna akaun @lanonjohor

Selain itu, ada juga netizen berharap Aliff tidak lokek dengan kekayaannya, sebaliknya melakukan kebajikan untuk membantu orang susah.

“Kayanya Datuk Alif,..mintalah tolong bagi rumah kat saudara-saudara kita yang tinggal bawah jambatan, tidur berlapik tanah Datuk,” kata pengguna akaun zarinah_md_sood.

Lihat Komen
ADS