Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Orang ramai masih boleh menyaksikan 'buah tangan' Datuk Boy Iman menerusi pementasan teater Kontena 404 di Istana Budaya (IB) ketika dia menjadi sasaran kecaman sesetengah pihak.

Menurut Ketua Pengarah IB Datuk Mohamed Juhari Shaarani, pementasan teater terbitan DBI Entertainment Sdn Bhd (DBI Entertainment) itu tidak akan dibatalkan kerana setakat ini Boy Iman belum didapati bersalah oleh mahkamah.

Mohamed Juhari atau lebih mesra dipanggil Abang Joe itu berkata buat masa ini segala urusan berkaitan teater Kontena 404 berkenaan -termasuk dari segi promosi - akan tetap diteruskan seperti biasa.

“Pihak IB sebagai penyedia lokasi tidak mahu campur tangan dalam kes penipuan jualan rumah yang dikaitkan dengan Boy Iman.

“Syarikat berkenaan (DBI Entertainment) telah membayar sewa dan membuat tempahan, justeru kami tidak mahu mengambil risiko berdepan tindakan undang-undang hanya disebabkan kontroversi mengaitkan namanya.

“Setakat ini Boy Iman pun belum diputuskan oleh mahkamah sebagai bersalah,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Artis tak bersalah

Teater komedi seram ditulis dan diarahkan oleh Raja Azrey itu dijadual dipentaskan selama tiga hari berturut-turut di Laman Sari Istana Budaya bermula pada 20 ini.

Antara pelakon yang akan menyerkan naskhah itu nanti adalah Tauke Jambu, Miera Liyana, Adam AF dan Lokman Harmin.

Sebelum ini, terdapat segelintir pihak mendesak pementasan Kontena 404 dibatalkan.

Semalam Malaysiakini melaporkan Boy Iman dan dua suspek utama kes penipuan ditahan polis selepas 188 laporan dibuat.

Mangsa mendakwa ditipu selepas mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar rumah yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Dalam pada itu, Mohamed Juhari menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan wajar dengan menamatkan kontrak Kontena 404 seandainya Boy Iman telah diputuskan bersalah.

“Hanya apabila sudah terbukti dia seorang penjenayah selepas tindakan undang-undang dikenakan terhadapnya, IB pada masa itu mempunyai alasan kukuh untuk tidak membenarkan pementasan diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar DBI Entertainment Lyana Zulkepli, meminta orang ramai supaya tidak membenci mereka secara terburu-buru.

"Artis-artis yang terlibat dalam naskhah ini sama sekali tidak bersalah," katanya.

Tambahnya, syarikat menguruskan Kontena 404 juga tidak ada kena-mengena dengan syarikat yang didakwa menjalankan sindiket penipuan jualan rumah.

"Saya nak tegaskan disini, sememangnya DBI Entertainment memang syarikat Datuk Boy Iman.

"Tetapi di DBI Entertainment kami ada ahli lembaga pengarah yang lain.

"Kami juga tidak ada kena mengena dengan kes tular sekarang. Itu syarikat lain yang telah disalahertikan," katanya.

Lihat Komen
ADS