Polis sudah membuka kertas siasatan sejak April 2025 berhubung dakwaan Malaysia dijadikan laluan untuk memintas sekatan eksport Amerika Syarikat (AS) terhadap cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata skop siasatan merangkumi dakwaan penggunaan syarikat proksi, perolehan secara tidak sah dan kemungkinan Malaysia dijadikan hab transit bagi pengalihan cip berkenaan ke negara lain.

Bagaimanapun, dia tidak menyatakan sama ada syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International Pte Ltd, atau anak syarikatnya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd, termasuk dalam siasatan polis itu.

“Menjawab soalan apakah polis telah membuka kertas siasatan? Jawapannya, ya, seawal April 2025,” katanya kepada pemberita di Kampung Sungai Tiram, Lekir, Perak, hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010, dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) sebagai agensi peneraju.

Agensi lain yang terlibat termasuk Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Saifuddin berkata dakwaan AS itu disalurkan melalui Miti, justeru polis memaklumkan perkembangan siasatan kepada kementerian berkenaan untuk disampaikan kepada pihak berkaitan.

Dia tidak mendedahkan sama ada siasatan setakat ini menemukan bukti yang menyokong dakwaan tersebut, sebaliknya menjelaskan proses mengumpul bukti melibatkan beberapa lapisan siasatan.

“Tentunya siasatan itu sangat kompleks...” katanya.

Pengesahan itu dibuat ketika Megaspeed dan Speedmatrix kembali menjadi tumpuan susulan laporan mengenai perolehan perkakasan AI Nvidia serta dakwaan kemungkinan sekatan eksport AS dipintas.

The New York Times sebelum ini melaporkan Speedmatrix membeli sekurang-kurangnya AS$4.8 bilion (kira-kira RM19.5 bilion) perkakasan AI canggih yang mengandungi cip Nvidia antara Jun 2024 hingga Februari 2026.

Malaysiakini pada 10 Nov melaporkan cip berkenaan didakwa dihantar ke pusat data di Malaysia dan Indonesia untuk kegunaan pelanggan China, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pematuhan sekatan eksport AS.

Reuters turut melaporkan dakwaan AS yang mengaitkan bekas eksekutif Megaspeed, Alice Huang, dengan kegiatan pengintipan untuk China. Beijing menafikan dakwaan itu.

Kementerian Dalam Negeri Singapura pada 12 Nov pula menjelaskan Huang tidak disiasat atas dakwaan pengintipan. Polisnya pada Februari 2026 mendapati bukti tidak mencukupi untuk mengaitkan Huang dengan kemungkinan pengisytiharan tidak tepat berhubung pembelian pelayan komputer (server).

Namun, Huang diberi amaran keras kerana memberikan maklumat yang diketahuinya tidak tepat ketika siasatan. Menurut kementerian itu, siasatan terhadap Megaspeed masih berjalan.

Megaspeed sebelum ini menafikan menyelewengkan cip secara haram ke China. Dalam kenyataan di laman webnya pada 12 Nov, syarikat itu berkata pihaknya telah memberi kerjasama dalam pemeriksaan oleh Biro Industri dan Keselamatan (BIS) Jabatan Perdagangan AS.

Syarikat itu turut menyatakan pelantikan sebuah firma guaman AS untuk menjalankan pengiraan menyeluruh unit pemprosesan grafik (GPU) miliknya dan mengesahkan pematuhan kawalan eksport secara bebas.

Pada 10 Nov, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani memberitahu Malaysiakini kementeriannya ketika itu belum memulakan siasatan khusus terhadap Speedmatrix kerana belum menerima bukti pelanggaran undang-undang Malaysia.

Namun, dalam kenyataan semalam, Miti menegaskan kementerian itu tidak pernah membersihkan Megaspeed atau Speedmatrix daripada sebarang salah laku.

Menurut kementerian itu, lawatan pemeriksaan ke pusat data merupakan sebahagian daripada pemantauan rutin dan tidak boleh dianggap sebagai pengesahan sesebuah syarikat bebas daripada salah laku.

Miti menjelaskan Speedmatrix menyewa ruang di pusat data Malaysia dan membawa masuk pelayan serta cip AI sendiri untuk operasinya.

Kementerian itu sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam untuk menentukan sama ada cip yang dibawa masuk telah dieksport semula ke negara lain dan sama ada urus niaga berkenaan mematuhi undang-undang.

Pada 14 Julai 2025, Miti mengumumkan syarat permit perdagangan strategik bagi eksport, pemindahan muatan dan transit cip AI berprestasi tinggi asal AS dari atau melalui Malaysia.

Miti menjelaskan semalam import cip AI pada masa ini tidak memerlukan permit atau lesen, manakala eksport dan eksport semula cip berprestasi tinggi asal AS tertakluk kepada permit kementerian itu.

Kementerian itu turut menegaskan Malaysia tidak menguatkuasakan kawalan eksport sepihak negara lain, tetapi syarikat yang beroperasi di negara ini perlu mengambil kira kawalan berkenaan dalam urusan antarabangsa mereka.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam berkata setakat ini tiada petunjuk cip yang dikaitkan dengan isu Nvidia-Megaspeed telah dieksport keluar dari Malaysia. PM Anwar