Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Ciuman' Janna dan Fattah aksi berahi tak bersentuh

Janna Nick memang tidak keberatan meneruskan aksi 'bercium' dengan Fattah Amin biar pun apa dikata orang.

Bagi Janna, ada banyak lagi adegan yang lebih mendebarkan terpapar dalam lakonan di negara ini.

Pada masa sama akres itu menegaskan babak 'bercium' itu tidak akan menjatuhkan imejnya atau memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Menjelaskan babak yang boleh mendebarkan itu Janna berkata sebenarnya tiada sentuhan berlaku antara dia dan Fattah sebaliknya mereka dipisahkan jarak sejauh kira-kira 15 sentimeter.

“Penceritaan pula langsung tidak bertujuan menimbulkan berahi, romantik mahupun manis percintaan. Ia membawa unsur lawak dan kelakar saja.

“Aksi itu dirakam jurukamera dari jauh dan dengan teknik yang betul kami nampak macam benar-benar bercium,” katanya.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 22, ditemui pada sidang media memperkenalkan drama 60 episod Dia di One Utama, Petaling Jaya semalam.

Janna seorang daripada pelakon yang turut membintangi drama terbitan TV3 itu yang dijangka mula bersiaran 14 Oktober ini.

Di samping Janna, pelakon Indonesia Irwansyah turut menjayakan Dia, selain Izara Aishah dan Adi Putra.

Nama Janna baru-baru ini menjadi perhatian apabila muncul satu klip video dimuat naik di media sosial menunjukkan seolah-olah dia sedang bercium dengan Fattah.

Rakaman dimuat naik ketika penggambaran sedang berlangsung oleh rakan Janna yang berada di lokasi, Fara Mendoza.

Aksi Janna itu dilakukan bagi memenuhi tuntutan skrip drama adaptasi dari Korea, Coffee Prince arahan Michael Ang.

Sendiri boleh bikin

Janna mengakui tindakan Fara berkongsi video berkenaan dianggap semberono, tetapi dia sedikit pun tidak melihatnya suatu kesalahan atau cubaan sabotaj.

"Saya faham benar perangai dia. Tak ada isu Fara nak menjatuhkan sesiapa," katanya.

Namun pelakon Syurga Nur itu tidak dapat mengelak daripada terpalit dengan isu dan didakwa sengaja suka mencari kontroversi.

Sebaliknya Janna mengaku dia terkejut kerana isu itu diperbesarkan.

Kata Janna, sekiranya dia benar-benar ingin mengundang kontroversi, lebih mudah dia berpeleseran di pusat-pusat hiburan dan bukannya melalui aksi bercium.

Namun Janna mengingatkan masyarakat tidak terlalu cepat menghukum kerana dia bukanlah wanita yang gemar berpeleseran.

“Saya tidak merancang hal ini semata-mata untuk meraih populariti.

"Kejadian itu berlaku semasa saya bertugas dan menjalani penggambaran.

“Kalau semata-mata nak buat kontroversi, tak perlu orang lain muat naik, saya sendiri boleh kongsikan kepada umum atau pergi ke kelab malam supaya gambar jadi tular,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS