Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas lagu puisi Jokowi nikmati death metal
Diterbitkan:  Oct 8, 2017 5:27 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Dia dikenali sebagai tokoh yang sederhana, bersahaja tetapi tetap dihormati.

Di celah-celah kesibukannya Jokowi - atau nama sebenarnya Joko Widodo - meluangkan masa menikmati muzik.

Malam tadi bekas peniaga perabot itu menikmati alunan muzik sempena Festival Synchronize di Kemayoran, Jakarta Pusat.

Salah satu penghibur yang menarik perhatian Jokowi ialah Ebiet G Ade.

"Saya menikmati penampilan pemuzik senior Ebiet G Ade.

"Anda masih hafal lagu-lagunya? Ebiet salah seorang pemuzik Indonesia yang disukai semua kalangan masyarakat," kata Jokowi di Facebooknya hari ini.

Tempo pula melaporkan presiden berusia 56 tahun itu kelihatan menyanyi bersama orang ramai ketika Ebiet - yang terkenal dengan lagu-lagu puisi - berdendang.

Pada ketika lain Jokowi melayan permintaan orang ramai untuk bergambar bersama.

Festival Synchronize ialah pesta muzik yang menampilkan pelbagai genre.

Menurut Jokowi sekurang-kurangnya 100 pemuzik diundang memeriahkan lima pentas berasingan sepanjang festival berkenaan berlangsung sejak Jumaat dan berakhir malam ini.

Semakan Facebook pula menunjukkan salah seorang penyanyi yang membuat persembahan ialah Bob Tutupoly yang turut popular di Malaysia.

Jokowi memang bukan seorang ahli politik yang skema dan dia tidak menyembunyikan minatnya kepada muzik.

Malah dia memberitahu minatnya yang mendalam terhadap muzik metal dan rock. Satu daripada kumpulan kegemaran Jokowi ialah Guns N Roses.

Tempo melaporkan pada awalnya Jokowi hadir di Kemayoran dengan jaket hitam sebelum dibuka untuk lebih selesa berkemeja lengan panjang.

Sejurus kemudian dia berpindah dari pentas yang menampilkan Ebiet dan menunju ke lokasi lain.

“Habis ini mau nonton Deadsquad,” katanya yang hadir bersama beberapa kakitangannya.

Deadsquad ialah sebuah kumpulan death metal yang ditubuhkan di Jakarta lebih 11 tahun lalu.

Jokowi berkata dia meluangkan masa hampir dua jam di sekitar pesta muzik itu dan berkesempatan bertemu dengan orang ramai.

Sementara itu ketika dalam perjalanan pulang Jokowi sempat dipelawa melihat ke sebuah gerai pakaian.

Selepas masuk Jokowi memilih sehebai baju kemeja lengan pendek dengan corak kotak-kotak. Dia kemudian membeli baju itu yang dijual pada harga Rp385,000 (RM120).

Ketika ditawarkan harga diskaun oleh peniaga terbabit Jokowi malah menolak.

"Jangan, berikan saya harga biasa saja," katanya seperti diceritakan pemuda terbabit, Aldy, kepada tribunnews.

Lihat Komen
ADS