Walaupun pelakon Hisyam Hamid tidak pernah merahsiakan statusnya sebagai suami dan bapa kepada dua anak, ia tidak menghalang ramai wanita untuk terus 'mengejarnya'.

Masakan tidak, dia memiliki wajah tampan dan susuk tubuh menarik, selain bakat lakonan yang menjadikan namanya tidak asing lagi dalam industri hiburan.

Kata pelakon dari Singapura itu, dia tidak dapat berbuat apa-apa apabila menjadi perhatian wanita yang terus mendambakan dirinya.

“Selalu orang bertanya mengenai perkara ini sedangkan di laman sosial saya kerap berkongsi foto keluarga. Saya tidak pernah terdetik pun untuk menyorok status perkahwinan. Saya perlu bersikap jujur dan berfikir tidak ada apa yang perlu disembunyikan.

“Mungkin nampak awet muda membuatkan segelintir pihak beranggapan saya belum berkahwin. Bagaimanapun, saya tidak pernah ambil hati dan terimanya sebagai satu pujian,” katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.

Pelakon drama Ariana Rose dan Abang Bomba I Love You mengakui kerap menerima kiriman mesej dari wanita, dengan permintaan untuk berkenalan sehinggalah tawaran untuk menjadi isteri kedua.

Dia bagaimanapun berkata tidak akan sesekali mengambil kesempatan dan tidak melayan sebarang pesanan.

"Saya tidak mahu ia berlanjutan yang akhirnya mengundang masalah lain.

"Setiap kali berkongsi gambar bersama isteri dan anak, saya harap peminat faham. Malangnya masih ada yang tidak tahu, tetapi saya tidak marah," katanya lagi.

Malah lebih itu, dia turut menerima gambar lucah daripada peminat wanita dan juga lelaki.

"Saya terkejut dengan keberanian mereka. Jika setakat mesej mungkin saya boleh terima, tetapi ini membabitkan gambar tidak senonoh.

"Setiap yang saya terima, isteri orang pertama yang akan mengetahuinya dan dia hanya mampu tergelak," katanya.

Dia menganggap mereka yang berbuat demikian sebagai peminat fanatik yang telah memberi sokongan kepada kerjayanya.

"Saya hanya sekat akaun seseorang jika dia menghina dan memaki keluarga," katanya lagi.