Pengasas syarikat produk kecantikan Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Hasmiza Othman mendakwa beliau tidak diberi peluang bercakap dalam sidang media Gegar Vaganza musim keempat semalam.

Kesal dengan langkah itu, beliau berkata langkah itu seolah-olah tidak menghargainya sebagai penaja utama rancangan itu.

Dalam status dan video dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata beliau telah berhabis hingga jutaan ringgit untuk penajaan itu.

“Punyalah gigih saya beli segala, jahit baju khas, beg, pakai cantik pada hari ini (semalam), tapi sebutir (satu) pun tak sebut nama saya sebagai penaja utama...berjuta.

“Tak apalah, saya tak (nak) cakap banyak pun, (tapi) tak bagi peluang pun saya cakap. Bukan ketagih nak bercakap tapi saya perlu bercakap demi produk yang saya dagangkan. Salah ke?” tulis Hasmiza.

Semalam berlangsung sidang media bagi memperkenalkan 12 artis yang akan menyertai Gegar Vaganza musim keempat, yang dijadual bermula pada 29 Oktober depan.

Bagi musim terbaru itu, antara artis yang akan turut serta ialah Aqasha, Aisyah, Raja Azura serta Liza Hanim.

Hasmiza sebelum ini menjadi penaja utama bagi rancangan Gegar Vaganza dari musim pertama hingga ketiga.

Hasmiza berkata beliau bukan ingin meraih simpati atau mencari publisiti murahan tetapi apa yang berlaku terhadap dirinya pada sidang media semalam seolah-olah menjatuhkan maruahnya sebagai penaja.

“Bagilah saya cakap sikit, penaja kot. Saya bukan propa. Saya ni dah rasa (jadi) ‘artis’, tak naklah rampas-rampas mikrofon. Saya bukan ingin pun jika bukan pasal produk.

“Mana saya punya maruah (sebagai) penaja? Inilah nasib jika menaja,” tulisnya lagi.

Pihak Astro ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan memberi sebarang komen mengenai kenyataan Vida itu.