Che Ta tak sangka Datuk memperdaya
Gara-gara kerjasama menghasilkan produk minyak wangi pelakon popular Rozita Che Wan dilapor mengalami kerugian kira-kira RM50,000.
Dalangnya didakwa seorang lelaki bergelar Datuk.
Rozita - atau lebih mesra disapa Che Ta - itu berkata, daripada laporan media dia mendapat tahu bukan seorang saja yang menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit.
“Saya ingatkan seorang saja kena tipu, rupa-rupanya Aeril dan Wawa turut menjadi mangsa," katanya merujuk kepada pasangan suami isteri Aeril Zafrel dan Wawa Zainal.
Bagaimanapun Rozita berkata dia tidak akan membuat laporan polis kerana tiada perjanjian bertulis antaranya dengan Datuk berkenaan.
Menjelaskan nasib yang menimpanya, jelitawan dari Perlis berusia 44 tahun itu dipetik Harian Metro sebagai berkata, banyak kali dia meminta agar wangnya dipulangkan.
Namun tidak ada sebarang maklum balas daripada pihak lelaki itu.
"Jadi saya malas nak perbesarkan isu ini,” katanya.
Dia sanggup tipu
Menurut Rozita atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar penipuan itu adalah jumlah terbesar pernah berlaku ke atas dirinya sepanjang tempoh dia berniaga.
Buat masa ini Rozita seakan pasrah dan menyerahkan nasibnya kepada Allah.
“Saya percaya doa orang teraniaya dimakbulkan Allah. Apabila saya reda, maksudnya saya halalkan duit itu. Biarlah dia menerima balasan daripada Allah.
“Hilang RM50,000 sekelip mata, Allah gantikan dengan rezeki lain pula. Cuma, saya terkilan dengan tindakannya yang sanggup berbuat sedemikian.
“Orang yang menipu ini hidupnya tidak tenang. Buktinya, sekarang dia menghilangkan diri dan tidak tahu berada di mana. Semua orang cari dia,” kata isteri Zain Saidin itu.
Pada masa sama pelakon drama Kiah Pekasam itu mendakwa, dia memberikan kepercayaan kepada Datuk terbabit selepas melihat gaya hidup mewah dipamerkannya, seperti membeli kereta dan rumah baru, berkahwin lain dan banyak lagi.
Di sebalik keadaan itulah Rozita mendakwa diperdaya.
“Saya memang percayakan dia, tapi tak sangka pula dia sanggup ambil kesempatan ke atas saya.
"Mungkin sebab saya mudah percayakan orang, dia sanggup menipu saya," katanya.

