Ella bagi peminat pilih lokasi jelajah
Selepas hadir dengan buah tangan baru-baru ini, Ratu Rock Negara Ella kini meletakkan kuasa di tangan peminat untuk memilih lokasi jelajah yang dijadual mengambil tempat pada 25 Oktober depan.
Ella akan turun padang bagi mempromosi album Peace.Love.Rindu ke tujuh lokasi di seluruh Malaysia.
Jelajah itu dijadual bermula pada lokasi pertama iaitu di Teluk Cempedak, Kuantan.
Melalui undian atas talian, 30 pengundi bertuah juga berpeluang untuk sesi beramah mesra bersama Ella di lokasi-lokasi jelajah itu nanti.
Pada 21 September 2017 Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Amiruddin, 51, kembali dengan karya terbaru selepas 10 tahun tidak mengeluarkan album.
Menurut Ella, Peace.Love.Rindu mula berada di pasaran bersempena Hari Keamanan Dunia yang kebetulan disambut pada 21 September lalu.
Katanya, dia menghadiahkan album itu kepada peminat-peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang kariernya sebagai penyanyi.
“Saya sengaja memilih untuk melancarkan album pada hari ini dan mengambil peluang melakukannya bersempena Hari Keamanan Dunia.
“Erti judul itu membawa maksud begitu mendalam buat saya.
“Peace bererti keamanan yang perlu sentiasa dipelihara, love untuk peminat yang tidak pernah berhenti menyokong dan 'rindu' kerana saya memendam perasaan untuk menghasilkan lagu selepas sekian lama,” katanya.
Kali terakhir penyanyi Baldu Biru itu mengeluarkan album berjudul Rama-Rama. Album Peace.Love.Rindu dilancarkan dengan kerjasama pihak Universal Music Malaysia.
Ella yang sememangnya terkenal dengan persembahan bertenaga akan mempersembahkan koleksi dari lagu-lagu baru dan lama sepanjang dia berkecimpung dalam bidang seni suara.
Selain Teluk Cempedak, antara lokasi-lokasi yang mungkin dilawati Ella adalah SACC Mall Shah Alam, Selangor; Waterfront Kuching, Sarawak; Pahang; Danga Bay Johor Bharu, Johor; Tesco Ampang, Kuala Lumpur dan Alor Setar Mall, Kedah.
Undian boleh dilakukan melalui laman sesawang http://player.lemonadebox.com/peaceloverindutour.

