Buat julung kalinya, 11 band dari Malaysia, Indonesia, Jepun dan England akan berkongsi pentas dalam sebuah festival muzik bersempena pameran permotoran terbesar, Malaysia Autoshow 2017.

Festival SoundValley 2017 dijangka mengumpulkan peminat muzik dan permotoran di bawah satu bumbung, bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Berlangsung selama dua hari bermula 11 November, festival berkenaan dianjurkan oleh Malaysia Automotive Institute (MAI) dengan kerjasama RSVP Media Sdn Bhd.

“Tahun ini, Malaysia Autoshow 2017 dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung, dengan lebih banyak lagi tarikan.

"Penganjuran SoundValley Festival adalah tarikan baru selari dengan perkembangan Malaysia Autoshow," kata Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari.

Pada festival berkenaan, pengunjungi akan disajikan dengan pelbagai genre muzik daripada 11 kumpulan terkenal.

Peminat muzik Indie bakal menyaksikan band Bloc Party dari United Kingdom, Hujan, Bunkface dan Otherside Orchestra dari Malaysia serta Barasuara dari Indonesia pada 11 November.

Manakala pada hari kedua iaitu 12 November peminat genre rock pula akan disajikan dengan band seperti Loudness, Wings, May, Metalasia, FiftyOne 50 dan Cassandra.

Pengunjung Festival SoundValley akan menerima tiket percuma ke Malayia Autoshow 2017, sekaligus berpeluang mengunjungi pameran automotif yang dianjurkan.

Tiket sudah mula dijual pada 9 Oktober lalu di mana pembelian awal akan menikmati harga istimewa pada RM98 dan RM248 hingga 18 Oktober ini.

Untuk maklumat lanjut boleh ke laman Facebook SoundValley Festival 2017 dan Instagram @soundvalleyfestival.