Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Suami Ezlynn nafi rompak rumah sendiri
Diterbitkan:  Oct 16, 2017 6:35 PM
Dikemaskini: Oct 17, 2017 1:09 AM

Selepas dituduh sebagai perompak Adam Fahmi Shamsudin tampil menjawab tiada istilah menceroboh mahupun memecah masuk seperti didakwa isterinya yang juga penyanyi Ezlynn.

Adam berbuat demikian selepas menghubungi pihak polis dan menjelaskan bahawa sebenarnya dia pulang ke rumah berkenaan untuk mengambil barang miliknya.

Malah Adam berkata, dia sedikit pun tidak terlintas untuk memecah masuk rumahnya sendiri.

“Saya sudah jelaskan kepada pihak polis dan mereka memberitahu saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Itu rumah hak milik bersama dan salahkah jika saya mahu pulang ke rumah saya sendiri?

“Rumah tersebut masih rumah saya dan dia juga masih isteri saya. Kes perceraian kami masih dalam perbicaraan dan sekarang dia mahu tuduh saya macam-macam? Kalau salah, saya sudah berada dalam penjara sekarang.

“Saya tidak menyentuh barang-barang peribadi kepunyaannya dan hanya mengambil barang-barang saya sendiri yang sudah diletakkan di dalam kotak olehnya,” jelas Adam seperti dilapor Utusan Online hari ini.

Kes penceraian

Adam turut menafikan dakwaan dilemparkan Ezlynn bahawa dia menjadi individu yang mengakibatkan periuk nasi penyanyi Hi Hi Bye Bye itu ditutup hingga tidak lagi menerima sebarang tawaran untuk melakukan persembahan.

“Itu semua hanya satu dakwaan yang tidak berasas. Dia yang tidak mengaku saya sebagai pengurusnya. Saya sudah mencuba untuk mendapatkan tawaran persembahan untuk dia.

“Saya ada cuba menghubunginya tetapi dia enggan untuk berbincang. Tahu-tahu cerita sudah sampai ke pihak media. Saya hanya berdiam diri setelah mendapatkan nasihat peguam.

“Saya hanya akan beritahu kebenaran di dalam mahkamah. Itu yang paling penting dan adil,” katanya.

Penyanyi kelahiran Perak, itu memfailkan permohonan cerai terhadap Adam 20 April lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984.

Bagaimanapun Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menetapkan 23 Oktober 2017 ini untuk laporan hakam berhubung kes perceraian mereka selepas kedua-dua pihak masih mahu meneruskan penceraian.

Ezlynn dan Adam mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011 dan tidak dikurniakan cahaya mata.


 

Lihat Komen
ADS