Seni & Hiburan Malaysiakini

Filem Tombiruo raih lebih RM2 juta dalam 4 hari

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Baru empat hari ditayangkan di pawagam, filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi daripada novel Ramlee Awang Murshid sudah berjaya meraih kutipan lebih RM2 juta.

Filem bergenre aksi drama itu ditayangkan di 115 pawagam seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura.

Memetik kenyataan dikeluarkan Astro Shaw Sdn Bhd pada hari ini, ramai penonton memberikan respon positif menerusi perkongsian di media sosial mengenai filem berkenaan.

Tombiruo ketika ini juga berada di tangga kedua untuk carta filem GSC (Golden Screen Cinema) dan sekaligus mengetepikan filem-filem luar negara seperti The Foreigner, Blade Runner 2049 dan Kingsman: The Golden Circle.

Selain itu, video Tayangan Perdana filem Tombiruo : Penunggu Rimba juga mendapat perhatian umum apabila video berdurasi 25 minit ini berada di nombor enam dalam kategori video tular di Youtube.

Sesi jelajah filem

Barisan pelakon tanah air yang menjayakan filem ini adalah Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Artu, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Dato’ M Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Khusyairi, Dynas Mokhtar dan adik Muhammad Al-Rayyan.

Mereka juga akan menemui penonton di sebelah selatan bagi sesi jelajah filem ini selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Oktober 2017 ini.

Sementara itu, Ramlee berkata, beliau bersyukur Tombiruo berjaya mencatatkan kutipan memberangsangkan tatkala perkembangan industri tanah air mempunyai pasang dan surut tidak menentu.

“Alhamdulillah, dalam keadaan kutipan industri filem tempatan yang agak kurang menentu sekarang ini, karya Tombiruo : Penunggu Rimba dilihat diterima oleh kebanyakan penonton. Kami amat menghargai sokongan penonton serta komen-komen yang dikongsi.

“Saya mewakili pihak penerbit berharap penonton yang telah menonton filem ini akan mengajak rakan-rakan serta keluarga untuk menyaksikan filem ini di pawagam. Tambahan pula minggu ini telah bermula cuti sekolah dan cuti umum bakal tiba Rabu ini,” katanya.

Lelaki bertopeng

Tombiruo : Penunggu Rimba memaparkan kisah Ejim yang digelar sebagai Tombiruo, (watak dilakonkan Zul Ariffin) kerana dianggap sebagai penjaga rimba.

Dalam cerita itu, Tombiruo disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia.

Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam.

Sementara itu, Amiruddin (Farid Kamil) menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya. ‘

Pergelutan diantara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing.

Dalam sejarah perfileman tanah air setakat ini, terdapat tujuh buah filem yang dapat mencapai kutipan sepanjang tempoh tayangan melebihi RM10 Juta iaitu KL Gangster, Ombak Rindu, The Journey, Polis EVO, Ola Bola, Munafik dan BoBoiBoy: The Movie.

Filem Sembilu 2  menjadi filem pertama yang mencapai kutipan lebih RM6 Juta pada tahun 1995. Sementara itu, filem Ngangkung pula ialah filem pertama yang mencapai kutipan melebihi RM8 Juta pada tahun 2010.

Manakala pada tahun 2011, filem KL Gangster merupakan filem pertama yang mencapai kutipan RM10 Juta.