Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bjork dedah jadi mangsa seksual pengarah Denmark
Diterbitkan:  Oct 17, 2017 12:15 PM
Dikemaskini: 5:24 AM

Penyanyi dan penulis lagu kelahiran Iceland, Bjork tampil mendedahkan pengalaman turut menjadi mangsa gangguan seksual sewaktu berkecimpung dalam dunia lakonan buat seketika.

Bjork berkata, dalam intitusi perfileman di Barat, ia seakan-akan adalah lumrah bagi seseorang pengarah ‘dibenarkan’ menyentuh dan mengganggu secara seksual mana-mana aktres yang bekerja di bawah arahannya.

“Saya mendapat inspirasi daripada segelintir wanita yang memberi respon atas talian mengenai serangan seksual,” katanya menerusi Facebook.

Walaupun Bjork, 51, tidak menyatakan nama pengarah terbabit, namun amat jelas siapa yang dimaksudkan dalam tulisannya itu.

Bjork pernah membintangi sebuah filem arahan pengarah Denmark Lars von Trier pada tahun 2000 berjudul Dancer in the Dark.

Kata penyanyi Army of Me itu, keadaan menjadi lebih buruk selepas dia menghampakan pengarah terbabit.

“Dia akan merajuk, menghukum dan menuduh dengan memberitahu seluruh produksinya bahawa saya seorang degil,” katanya.

Berasakan tidak mempunyai masa depan cerah dalam membina kerjaya sebagai aktres, malah sedikit pun tidak berasa rugi, Bjork akhirnya mengambil keputusan meninggalkan dunia hiburan.

“Disebabkan kekuatan yang ada pada diri dan pasukan yang sentiasa menyokong, saya berhenti dan mengambil masa untuk pulih dalam tempoh setahun.

“Cuma saya bimbang pelakon wanita lain yang bekerja dengan lelaki sama akan gagal,” katanya.

Bagaimanapun Lars menafikan segala dakwaan Bjork dan enggan mengulas lanjut.

Kenyataan Bjork itu dibuat selepas lebih 12 wanita dalam kes berasingan mendakwa diraba dan dirogol Harvey Weinstein ketika mereka bekerja di bawah produksi penerbit dan pengarah itu.

Bjork berharap kisahnya itu dapat menghentikan perbuatan segelintir pembikin filem yang gemar mengambil kesempatan dan mengamalkan sikap tidak bertanggungjawab.

Malah dia berharap kes gangguan dan serangan seksual diberi perhatian serius oleh seluruh penggiat industri perfileman tidak kira walau di mana mereka berada.

“Saya berharap kenyataan ini dapat menyokong aktres dan aktor secara keseluruhan. Mari hentikan perkara seperti ini. Terdapat gelombang perubahan di seluruh dunia,” katanya.

Lihat Komen
ADS