Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jihan Muse 'bawa anak' ke pentas hoskan ASK2017

Walaupun usia kandungannya sudah mencecah enam bulan, hal itu tidak menghalang Jihan Muse memikul tanggungjawab sebagai pengacara majlis Anugerah Skrin (ASK) 2017 pada 3 November ini.

Jihan berkata, dia tidak perlu berhenti melakukan pekerjaan yang lazim dilakukannya seperti menjadi pengacara majlis hanya kerana hamil.

Cuma katanya dia perlu membuat sedikit penyesuaian agar ia tidak mempengaruhi kesihatan anak dalam kandungan.

“Alhamdulillah saya tiada masalah setakat ini. Apabila ASK berlangsung kandungan saya akan berusia tujuh bulan pada ketika itu.

“Jangan sekat diri kita hanya kerana mengandung. Mengandung itu normal cuma wanita mengandung kenalah berpada-pada," katanya.

Namun bekas peserta program realiti Raja Lawak itu berkata dia akan menolak tugasan jika benar-benar sudah tidak larat atau keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Jihan juga yakin pihak TV3 yang menerbitkan ASK 2017 sedia maklum keadaannya yang sedang berbadan dua dan tetap memberikan tugasan berkenaan kerana ia memang tidak memerlukan dia melakukan terlalu banyak pergerakan di atas pentas.

Selain menjadi pengacara, Jihan juga terkenal kerana pandai melawak dan berlakon.

Otot masih lemah

Jihan atau nama penuhnya Nur Jihan Musa, 34, ditemui pada sidang media pengumuman ASK 2017 di Kuala Lumpur semalam.

Bagi memeriahkan suasana, Jihan akan bergandingan dengan dua lagi pengacara iaitu pelakon Fahrin Ahmad dan pelawak Shuk dari kumpulan Balas.

Sebanyak 19 drama bakal dinilai di majlis acara yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur bermula jam 9 malam.

Menurut anak kelahiran Selangor itu, di awal kehamilan, dia pernah mengalami alahan yang begitu teruk hingga keadaan itu memaksanya membatalkan beberapa tawaran.

“Mungkin nama jadi buruk ketika itu kerana ada ketikanya saya sampai tak boleh datang bekerja sebab mual dan muntah-muntah sepanjang hari, tetapi tiada siapa tahu saya mengandung,” katanya.

Jihan berpendirian begitu kerana bimbang terlalu awal buatnya mendedahkan kehamilan pada waktu begitu awal.

Malah, sekitar Julai lalu pemenang tempat kedua Raja Lawak musim ketiga itu diberitakan dirawat di hospital bagi menjalani pembedahan membuang apendiks.

Dan sekali lagi, Jihan bertindak mengunci mulut mengenai bayi dalam kandungannya. Alasan Jihan tetap sama.

“Sebenarnya saya tidak mahu memberitahu umum tentang kehamilan kerana ketika itu baru semester pertama dan menjalani pembedahan membuang apendiks.

“Otot masih lemah jadi ada risiko besar memang saya tidak yakin untuk menyampaikan berita baik itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS