Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mangsa nafsu Weinstein mungkin lebih 40 orang
Diterbitkan:  Oct 19, 2017 9:37 PM
Dikemaskini: 1:49 PM

Jumlah aktres dan bekas pekerja industri perfileman yang menjadi mangsa nafsu buas Harvey Weinstein kini dikatakan meningkat lebih 40 orang.

Setakat ini, maklumat menunjukkan tuduhan ke atas penerbit filem yang terkenal itu bermula seawal 1980 dan berlarutan hingga Mac 2015.

Mangsa di kalangan pelakon yang pertama berani membuat pembongkaran awal mengenai serangan seksual dilakukan Weinstein adalah Ashley Judd.

Ashley mendakwa insiden itu berlaku pada 1997 ketika dia menjalani penggambaran filem Kiss The Girls (1997).

Pada awalnya dia dijemput ke Hotel Peninsula di Beverly Hills dan menyangka ia adalah untuk menghadiri mesyuarat.

Sbaliknya sejurus tiba di sana, pelakon itu diminta mengurut Weinstein yang ketika itu hanya berjubah mandi.

Tidak cukup dengan itu, Weinstein turut meminta Ashley menyaksikan dia mandi.

“Sejak sekian lama kami telah memperkatakan tentang sikap Harvey dan hanya menunggu saat untuk mendedahkannya kepada umum,” katanya.

Ashley (gambar) bakal menerima penghormatan oleh Pusat Media Wanita bulan ini sebagai menghargai keberanian meruntuhkan 'tembok' yang selama ini membelenggu mangsa Weinstein.

Menurut pengasas bersama Pusat Media Wanita, Gloria Steinem, organisasi berkenaan memilih Ashley kerana menjadi contoh aktivis kemanusiaan, politik dan menerajui kebenaran sejagat dengan cara paling berkuasa.

Terdahulu, media mendedahkan lapan wanita membuat laporan awal mengenai perbuatan terkutuk tokoh perfileman yang pernah menerbitkan filem seperti Pulp Fiction, Good Will Hunting, Kill Bill dan Django Unchained.

Berlaku detik tegang

Selepas Ashley tampil membuat tuduhan ke atas Weinstein, lebih ramai wanita berani untuk mengambil tindakan seperti dilakukan aktres terbabit.

Selepas didakwa melakukan gangguan seksual, tuduhan ke atas Weinstein menjadi semakin berat apabila seorang demi seorang wanita mendakwa mereka dirogol.

Antaranya pelakon Lysette Anthony, Rose McGowan dan Asia Argento.

Pada hari sama, lebih banyak nama besar termasuk Gwyneth Paltrow, Angelina Jolie, Cara Delevigne dan Rosanna Arquette mendedahkan mereka turut menjadi mangsa gangguan seksual Weinstein.

Gywneth (gambar) berkata, selepas mengakhiri pertemuan dengan Weinstein dalam satu mesyuarat, lelaki berusia 65 tahun itu mencadangkan mereka pergi ke bilik tidur untuk melakukan aksi “urut badan,” lapor CNN.

Pelakon Shakespeare in Love itu bagaimanapun menolak pelawaan berkenaan malah bergegas keluar dan memberitahu kekasihnya ketika itu, Brad Pitt.

Keesokan harinya berlaku ketegangan antara Pitt dan Weinstein.

Pendedahan awal mengenai Weinstein sebelum ini diberitakan oleh The New York Times.

Rose - yang dinamakan sebagai individu pertama dilaporkan dalam laporan itu - menggunakan media sosial untuk menggalakkan lebih ramai mangsa tampil ke hadapan.

Namun, pada awalnya Rose cuma menggunakan singkatan nama HW ketika mengajukan isu itu di ruang Twitter ketika membuat pertuduhan ke atas Weinstein.

“@jeffbezos saya maklumkan kepada ketua di studio kamu bahawa HW merogol saya. Sudah berkali kali saya memberitahu perkara itu. Namun kejadian itu tiada bukti. Bagaimanapun saya berkata buktinya adalah saya,” katanya.

Lysette pula memberitahu dia dirogol Weinstein di rumahnya sendiri pada 1980-an.

Lysette berkata dia membuka pintu sambil berpakaian baju tidur ketika Weinstein datang ke rumahnya pada suatu pagi.

“Dia menolak saya ke dalam dengan kasar dan mula menyelak gaun tidur yang dipakai. Dia cuba mencium dan memasukkan alat sulitnya ke dalam tubuh saya. Ia benar-benar jijik,” katanya.

Lihat Komen
ADS