Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana cemburu San Sreylai terbaring kaku
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 11:32 PM
Dikemaskini: 3:53 PM

Seorang bintang siri realiti TV yang menjadi pujaan ramai ditembak mati suaminya di Phnom Penh, Kemboja lapor media semalam.

Baru berusia 23 tahun, San Sreylai dikatakan berkunjung ke salun kecantikan eksklusif di Boeung Keng Kang, pinggir ibu negara Kemboja itu apabila dia diserang suaminya.

Menurut polis suami San Sreylai itu dikenali sebagai pegawai kastam berusia 53 tahun, Chey Rin.

Mereka menghadapi masalah dalam hubungan sehingga akhirnya mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak tahun lalu.

Berdasarkan keterangan rakan dan waris mangsa, lelaki terbabit didakwa sering menderanya, selain sentiasa bersifat mengongkong dan kuat cemburu.

Keadaan itu, kata jurucakap polis, memberi kesan terhadap dua anak mereka.

Kakak San Sreylai, San Kongkea berkata adiknya pernah meminta supaya mereka bercerai beberapa kali namun ditolak lelaki terbabit.

"Adik saya menyertai pertandingan The Voice Kemboja tahun lalu dan terpilih menyertai program realiti berkenaan.

"Sejak itu hubungan dia dengan suaminya semakin parah kerana lelaki itu sangat cemburu," katanya.

Seorang kawan rapat San Sreylai pula menceritakan Chey Rin terus mengganggu wanita terbabit walaupun selepas mereka tidak lagi tinggal sebumbung.

"Si suami tak mahu San Sreylai menyertai pertandingan The Voice tu," katanya yang dikenali dengan nama Dara.

Berdasarkan maklumat dirakam kamera litar tertutup dan tular di media sosial San Sreylai dilihat bercakap dengan suaminya di pintu masuk kira-kira jam 4 petang.

Mangsa kemudian meninggalkan Chey Rin sebelum sejurus kemudian suspek mengeluarkan pistol dan melepaskan beberapa das tembakan.

Rakaman video pula menunjukkan lelaki terbabit masih melepaskan tembakan walaupun mangsa sudah terbaring kaku.

Lelaki itu kemudian membunuh diri dan mayatnya terkapar di sebelah mangsa.

Saksi berkata dia terdengar sekurang-kurangnya tiga das tembakan dilepaskan.

San Sreylai menjadi finalis The Voice Kemboja dan sudah menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat penerbitan lagu.

Jurucakap polis pula berkata siasatan masih diteruskan.

Lihat Komen
ADS