Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Ariel mahu padam kisah Peterpan

Nadia Azam

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Okt 2017, 1:51 tengahari

Tidak mudah untuk mengikis nama Peterpan yang sudah sebati dalam jiwa peminat apatah lagi band ditubuhkan selepas itu iaitu Noah masih dianggotai tiga ahli asal.

Namun hal itu tidak mendatangkan masalah besar buat Noah yang kini berempat.

Malah vokalis Ariel yakin seandainya nama Noah mampu diperkukuhkan dengan muzik dan melodi baru, pasti nama Peterpan berhenti meniti di bibir peminat.

“Kami berharap untuk memberikan sesuatu yang segar buat peminat dan mahu berusaha untuk menjadi lebih bagus.

“Mudah-mudahan kami boleh pergi lebih jauh dan terlepas daripada dikaitkan dengan Peterpan lagi,” katanya.

Ariel atau nama sebenarnya Nazril Irham, 36, ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Noah Live in Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, tiga lagi anggota band itu Uki dan Lukman (gitaris) serta David (keyboard).

Noah Live in Kuala Lumpur yang menjanjikan persembahan bertenaga selama 90 minit itu dijadual berlangsung pada 25 November depan di Stadium Negara.

Sejak ditubuhkan pada 2012, Noah sudah menerbitkan tiga buah album iaitu Seperti Seharusnya, Second Chance dan Sings Legend.

Kali terakhir Ariel masih menganggotai Peterpan dan mengadakan konsert berskala besar di Kuala Lumpur adalah lebih enam tahun lalu.

Penubuhan Noah mungkin boleh dianggap sebagai penjenamaan semula buat Ariel yang pernah terpalit skandal cukup kontroversi dengan beberapa rakan artis yang terbongkar pada 2010 ketika masih bersama Peterpan.

Malah Ariel turut mengakui dia terbeban cabaran kerana bukan mudah untuknya keluar dan mengubah stigma negatif masyarakat disebabkan kesilapan lampau itu.

“Apabila dikaitkan dengan Peterpan pasti terkenang memori tidak indah. Namun kita semua perlu akur dan berserah pada waktu. Saya percaya itu.

“Perubahan harus datang dari dua arah bukan saja dari diri sendiri malahan orang di sekeliling. Saya yakin masyarakat sudah memaafkan selain ingin teruskan kehidupan dan berharap ada kemajuan.

“Saya juga bersyukur mempunyai teman, syarikat rakaman dan peminat muzik yang masih menerima dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi,” katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan