Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Dalam dua pandangan terdahulu, saya memberi fokus kepada isu seni kuda kepang atau reog yang diharamkan di Johor. Yang terakhir saya tulis surat terbuka kepada Yayasan Warisan Johor agar mereka menyemak kembali peranan seni tradisi ini.

Diakhir surat itu saya petik: Bangsa yang gagal ialah bangsa yang tidak memelihara kebudayaannya.

Sungguhpun ia bersifat hipotesis, tetapi ia mungkin sudah dapat justifikasinya.

Pertama, rata-rata pembaca tidak dapat mengunyah pandangan ini dengan waras. Mereka memilih untuk melihat isu ini sebagai isu "agama" – kepercayaan, akidah dan khurafat.

Saya rasa pemikiran agama sebegini didorong oleh rasa tidak yakin dan tidak faham. Ini seakan ada persamaan dengan pemikiran sesetengah pendakwah yang selalu memandang negatif sesuatu perkara apabila ia dilihat berselisih dengan cara Islam yang ditafsirkannya.

Unsur warisan dan futuristik

Kedua, rata-rata pembaca membaca teks tanpa konteks, apatah lagi membaca asas pandangan saya. Maka pandangan saya ini dinilai berdasarkan keahlian saya bersama parti DAP.

Mereka tidak dapat membaca betapa pentingnya memelihara khazanah kebudayaan. Ia sama dengan memelihara khazanah alam, laut, bukit dan hasil perut bumi kita. Seakan-akan kita sudah tiada sense of belonging.

Kerana itu saya kata, hipotesis saya ini ada dijustifikasinya.

Pada 17 Oktober 2017, Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin dalam satu status laman Facebook memuat naik satu gambaran visual reka bentuk konsep stesen Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) yang dikatakan sebagai mencerminkan identiti dan warisan Malaysia namun pada masa sama moden dan futuristik.

Visual tersebut adalah gambaran reka bentuk fizikal bangunan stesen rel. Gambaran visual ini juga adalah gambaran pemikiran dan kefahaman beliau terhadap "kemajuan" dan "warisan kebudayaan".

Bagi saya, status ini cukup konflik. Ia adalah konflik yang mewakili krisis identiti Khaled yang tidak pasti mahu menjadi apa dan mewakili apa.

Menteri bBesar Johor ini menyifatkan kuda kepang adalah sebahagian daripada warisan budaya rakyat (Johor-Malaysia), yang harus diangkat menjadi simbol kebanggaan rakyat.

Bangunan rosakkan akidah

Namun yang peliknya, kerajaan Khaled tidak sanggup mempertahan dan memelihara warisan kebudayaan ini dengan membiarkan ia terus diharamkan di khalayak rakyat.

Ironi sekali Khaled ini. Kuda kepang yang diharamkan ini diangkat menjadi motif konsep stesen rel keret api!

Alasan mengharamkan kuda kepang kerana dikatakan akan merosakkan akidah umat Islam, tetapi motif kuda kepang yang haram inilah diangkat menjadi batu simen bangunan yang tersergam besar.

Ini mirip kepada konsep pemikiran berhala zaman "Johor Berkemajuan".

Mungkin stesen rel HSR KL-SG di Batu Pahat ini perlu disahkan status halalnya terlebih dahulu oleh orang agama dalam Umno sebelum kerajaan membinanya. Bukan apa, takut-takut bangunan itu boleh merosakkan akidah umat Islam di Batu Pahat.

Jika saya pelancong yang menaiki kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura dan singgah di Batu Pahat, saya cuma boleh melihat motif replika kuda kepang.

Saya mungkin akan berswafoto dengan latar belakang bangunan replika kuda kepang itu.

Tetapi saya sebagai pelancong tidak dapat singgah melancong sambil makan-makan, menonton dan menikmati permainan kuda kepang, tidak dapat melihat seni warisan dan estetika bangsa ini.

Jangan biar dikelirukan

Semua ini telah tiada dan dijadikan muzium oleh parti yang dikatakan memperjuangkan bangsa itu.

Akhirnya, tujuan membina bangunan replika kuda kepang yang dibanggakan ini jauh tersasar. Tidak ada apa-apa tarikan di Batu Pahat untuk disinggahi pelancong. Jadi bagaimana pertumbuhan ekonomi di Batu Pahat boleh dipacu? Bukankah ini kelakar?

Umno khususnya di Johor membawa pemikiran yang tidak pasti, tidak jelas dan mengelirukan sama ada mahu jadi bangsa yang berkemajuan atau bangsa yang berkebudayaan.

Akhir kalam, saya ingin mengolah kembali kata-kata saya: Masyarakat yang mundur ialah masyarakat yang keliru dengan budaya dan identitinya.

Kekeliruan ini akan dizahirkan Khaled dalam sistem ketelusan pentadbiran serta kejituan terhadap dasar-dasar kepada rakyatnya.

Kita sebagai rakyat - baik Bugis, Banjar, Jawa - di Johor tidak boleh lagi dikelirukan antara pemerintah yang beria-ia memerangi korupsi tetapi pada masa yang sama, kerajaan itu jugalah yang melindungi perasuah dan pencuri.

Kerajaan Khaled ini sangat mengelirukan.


MAHDZIR IBRAHIM ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor, penggiat seni budaya dan seorang pelukis.

Rencana ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS