Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jari tengah jawaban Iqram Dinzly buat pengecam
Diterbitkan:  Oct 25, 2017 6:37 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Tanpa bahasa berjela-jela, pelakon Iqram Dinzly memilih menggunakan jari tengah sebagai jawaban kepada beberapa komen netizen yang mempertikaikan gambar dia berswafoto di pusara arwah bapanya.

Lambang emotikon digunakan Iqram membayangkan pelakon Hati Malaya itu tidak dapat membendung kemarahan terhadap pengguna alam maya yang bersikap kritikal terhadapnya.

Pada segelintir orang, berswafoto di tanah perkuburan memang perbuatan yang dipandang sensitif.

Kebanyakan netizen bertindak menegur pelakon drama Janji Diana itu kerana dianggap tidak tahu menjaga adab ketika melawat tanah perkuburan.

“Perlu ke selfie kat kubur? Tak pernah pula tengok Cina selfie kat jirat atau India selfie dengan abu,” kata pengguna akaun @zettyyy.co.

Pengguna akaun @wyyusuf pula menyifatkan perbuatan Iqram keterlaluan sejak arwah bapanya masih lagi hidup.

“Kenapa saya rasa dia ni berlebihan? Macam… kamu tahu ada sesuatu tidak kena dengan kepala dia. Macam kuat berlagak. Saya lihat sejak arwah sakit lagi selfie kat hospital… sekarang kat kubur? Huh?” katanya.

Cakap guna akal

Iqam atau nama penuhnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 36, memuat naik sekeping gambar berpakaian serba hitam ketika melawat kubur bapanya. Arwah meninggal dunia 10 Oktober lalu.

Pada gambar itu juga, Iqram seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu yang tersirat apabila dia turut mengukir senyuman tatkala merakam wajahnya sambil berlatar belakangkan sebuah surah Yasin.

“Jari jemariku terlebih menari. Lihat apa yang tiada di sisi, namun tetap berselfie. Ayuh doakan ayahanda hamba, Muhammad Saipuddin bin Rajemah, sentiasa di bawah lindungan rahmat Allah Taala, begitu juga dengan sanak saudara yang berada di alam sana,” katanya dalam Instagram.

Selain simbol jari tengah, untuk rekod, Iqram ada memberikan komen-komen yang menggunakan bahasa mudah difahami sebagai respon kepada pihak yang mengecam perbuatannya itu.

Sebelum ini, pelakon dan pengacara Farish Aziz turut dikecam ramai selepas memuat naik gambar di sebuah tanah perkuburan sewaktu pagi raya.

Bagi Iqram, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Baginya semua yang masih hidup pasti merasai mati.

Meskipun dikecam, masih terdapat segelintir peminat yang memahami perasaan Iqram malah mempertahankan tindakannya kerana mereka bersimpati.

“Cakap guna akal lah. Aku pun ambil kalau pergi kubur arwah ayah aku ambil gambar juga sebab anggap arwah masih ada. Sebab aku rindu sangat pada arwah. Salah ke… orang yang baru kehilangan. Tolong la weii hormati pendirian dia. Majulah sikit. Maaf ye menegur,” kata pengguna akaun @nabihahamid.

Lihat Komen
ADS