Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Saya dari KL...Jalan Imbi,” kata Michael Chai dengan bangga ketika ditemui di Festival Filem Antarabangsa Tokyo Ke-30 (TIFF 2017) di Tokyo.

Beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif Westec Media Limited (WML) yang berpangkalan di Kemboja yang mendakwa sebagai pengedar filem pertama dan terbesar di Kemboja.

Beliau yang syarikatnya berpangkalan di Phnom Penh bukan sahaja mempunyai paling ramai klien di Kemboja tetapi juga di negara jiran Laos.

Beliau memulakan perniagaan di Kemboja sejak tujuh tahun lalu dan dua tahun lalu di Laos dan merancang melancarkan perniagaannya di kampung halamannya di Kuala Lumpur menjelang pertengahan tahun depan, namun akan lebih memfokus kepada platform media digital.

“Kami akan melancarkan platform Xbox kami sendiri,” katanya dan menambah akan memenangi kontrak dari kalangan stesen TV dan saluran kabel di Asia Tenggara.

Ditanya mengenai genre filem yang diedarkannya, Michael Chai berkata paling banyak adalah kandungan daripada Hollywood yang menyumbang kira-kira 80 peratus daripada perniagaannya.

Beliau mendapatkan kira-kira 15 peratus filem yang beliau edarkan atau 15 hingga 18 tajuk setahun daripada Thailand, lima peratus daripada Hong Kong dan China selain dua atau tiga tajuk daripada Vietnam.

Beliau turut merancang mengedar filem yang diterbit dan diarahkan di Kemboja dengan pelakon dan kru dari seluruh Eropah selain daripada Kemboja.

Ditanya sama ada beliau merancang untuk beroperasi di Malaysia, Michael Chai berkata beliau tidak mempunyai rancangan sedemikian kerana menganggap pasaran Malaysia begitu kecil dan sudah terdapat pemain sedia ada dalam bisnes pengedaran filem.

Beliau berkata sudah tujuh tahun beliau memulakan perniagaanya di Kemboja dan telah mengedarkan lebih daripada 600 buah filem.

Beliau yakin bisnesnya mempunyai potensi besar untuk berkembang terutama dalam bentuk digital.

Michael Chai yang mungkin dalam lingkungan usia 40-an mengaku sebagai peminat filem animasi Jepun dan berharap untuk memulakan langkah dalam bisnes animasi satu hari nanti.

Menurut laman webnya, WML mendakwa ia merupakan pengedar filem pertama dan terbesar di Kemboja dan telah mengedar lebih 500 filem sejak 2011.

Ia juga mendakwa filem edarannya ditonton lebih daripada enam juta kali di Kemboja dan telah mengedarkan 48 buah filem sejak 2016.

Selain Kemboja, ia juga mendakwa filem edarannya ditonton 200,000 kali di Laos.

Tahun ini menandakan edisi ke-30 TIFF, satu-satunya festival filem Jepun yang diiktiraf Persekutuan Antarabangsa Persatuan Pengeluar Filem.

TIFF bermula pada 1985 sebagai festival filem pertama utama Jepun dan telah berkembang menjadi antara festival filem terbesar di Asia.

Sehubungan dengan TIFF 2017, pasaran kandungan TIFFCOM akan turut diadakan sebagai sebahagian Pameran Kandungan Jepun 2017 dari 24-26 Okt.

Tahun lalu TIFFCOM menjadi tuan rumah kepada 356 pempamer dan lebih lebih daripada 1,539 pembeli dari seluruh dunia menjadikannya pasaran filem/TV/animasi/musik paling aktif di Asia, dengan menyediakan TIFF sebagai rangkaian platform kepada perwakilan industri filem dunia, membangunkan pengeluaran antarabangsa dan mempromosi bisnes filem global.

- Bernama

Lihat Komen
ADS