Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pendikir tersohor Kelantan Megat Nordin atau nama sebenarnya Nor Din Yusoff meninggal dunia hari ini selepas beberapa bulan menderita sakit bengkak hati.

Nor Din, 56, menghembuskan nafas terakhir pukul 11.50 pagi di kediaman ayahnya di Kampung Kenali, Kubang Kerian di Kota Bharu di sisi isteri, anak-anak dan adik-beradiknya.

Adiknya Noriah Yusoff, 47, berkata Allahyarham yang kebetulan meninggal dunia pada tarikh kelahirannya hari ini meninggalkan isteri Khorulnisa Mohd Diah, 48, dan tujuh anaknya selepas dibenarkan pulang ke rumahnya setelah menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu beberapa hari lepas.

"Arwah kerap meminta kebenaran daripada pihak HRPZII untuk pulang ke rumah sejak seminggu lepas.

"Kami semua akur dan mengikut kemahuannya yang ingin berehat di rumah dengan membawa pulang arwah beberapa hari lepas. Pagi tadi selepas dimandikan isterinya, arwah kelihatan lemah, tidak bercakap dan tidak mahu makan, tiba-tiba sesak nafas sebelum meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Noriah berkata jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenali di Kota Bharu selepas asar bersebelahan kubur anak sulung arwah yang meninggal Ogos lepas akibat jantung berlubang.

Allahyarham Nor Din dikesan menghidap penyakit bengkak hati setahun lepas dan tahap kesihatannya susut secara mendadak sejak tiga bulan lepas selain perutnya semakin membengkak menyebabkan arwah hanya mampu terbaring.

Anak sulung daripada 13 beradik itu terlibat dalam seni dikir barat sejak 1980-an dan popular dengan lagu ‘Tunggu-Tunggu Tok Kelik’ dan ‘Ambo Raso Berkene’ selain pernah menjadi peserta program realiti Kilauan Emas 4 pada 2014.

Noriah berkata arwah pernah berpesan agar masyarakat di luar sana tidak memainkan beberapa lagu dikirnya termasuk lagu ‘Titih Pesaka’ dan ‘Dewi Menjelma’.

-Bernama

Lihat Komen
ADS