Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Apabila Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan hampir RM20 juta semalam bagi mengangkat martabat seni budaya menerusi Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana), mungkin terdapat dalam kalangan penggiat seni yang tertanya-tanya fungsi sebenar agensi berkenaan.

Kurator seni yang akan menggalas tugas sebagai seorang daripada 10 individu dalam menangani Cendana, Nur Hanim Khairuddin berkata hal itu kerana agensi berkenaan belum pun memulakan operasi dan dijangka berbuat demikian pada penghujung November 2017 depan.

Katanya, Cendana akan bertindak sebagai sistem sokongan kepada penggiat seni khususnya yang bergerak secara bebas.

Objektif lain menurutnya, adalah menyumbangkan ekonomi melalui industri kreatif.

“Ia bukan manfaat individu atau kumpulan tertentu saja tetapi boleh mencapai komuniti. Sebagai seniman atau artis saya lihat Cendana teramatlah penting, sebab kekangan dihadapi penggiat seni dari segi kewangan.

“Kalau ada sokongan begini kita nampak kerajaan melihat seni dan budaya sebagai bahagian yang penting, sama seperti bidang profesional lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Penubuhan Cendana diumumkan Najib pada September 2017 lalu bagi tujuan menggerakkan pembangunan sektor seni budaya di negara ini.

Ia ditubuhkan kerajaan melalui Mycreative Ventures dan mempunyai jawatankuasa penasihat yang bersifat neutral dan terbahagi kepada 10 cabang seni.

Antaranya seni persembahan, kraftangan, muzik, seni visual, budaya, ruang alternatif, pendidikan seni, seni warisan, pasaran dan kesusasteraan.

Jelas Nur Hanim lagi, Cendana seperti satu badan yang akan membantu memperkasa usaha sesebuah entiti dalam seni.

“Ia seperti membantu sesebuah kumpulan yang dah lama berkecimpung dalam seni atau yang ingin ke luar negara untuk mempamerkan karya mereka tetapi mempunyai kekangan.

“Dengan sedikit dana permulaan misalnya mungkin mereka mampu bertahan lebih lama dan boleh berkembang,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, bukan calang-calang orang yang layak menerima peruntukan dari Cendana, kata Nur Hanim mereka akan ditapis dengan sebaik mungkin bagi memastikan dana tidak jatuh ke tangan yang salah.

“Kami ada pasukan yang akan membuat penilaian untuk memastikan mereka yang tampil meminta dorongan Cendana adalah golongan artis sejati.

“Kita tekankan beberapa kriteria penting, bukan sewenang-wenangnya sesiapa saja boleh menghantar sebarang kertas cadangan,” katanya.

Lihat Komen
ADS