Tidak ada seorang pun anggota kumpulan Last Child menjadi batu penghalang sewaktu vokalis utama mereka, Virgoun menyatakan hasrat untuk menghasilkan projek solo.
Hasilnya, dengan single Surat Cinta untuk Starla, Virgoun berjaya meraih gelaran Artis Baru Terbaik Lelaki pada Anugerah Planet Muzik yang berlangsung Oktober lalu di Singapura.
Malah lagu berkenaan turut mendapat sokongan Last Child bagi mengisi bahagian koir.
Lagu yang diterbitkan sekitar tahun lalu itu kata Virgoun didedikasikan untuk anak perempuannya bernama Starla.
"Lagu ini bercerita tentang perasaan cinta yang paling jernih dan tulus dari seseorang.
"Perasaan saya diluahkan dan cuba diungkapkan dalam surat ini seadanya," katanya.
Sejak dimuat naik setahun lepas, klip video Surat Cinta untuk Starla berjaya mencapai hingga 165 juta tontonan sehingga kini.
Ia juga meraih Video Muzik Tempatan Pertama di Indonesia yang mencapai jumlah penonton tertinggi.
Untuk makluman, lagu berkenaan baru dipromosikan kerana Virgoun tidak menyangka akan memasuki pasaran tempatan.
Lagu berkenaan terhasil menerusi proses kreatif sekali gus bagi menggambarkan sebuah kisah menarik.
"Jujur, untuk proses kreatif saya agak pening kerana perlu menyiapkan lagu berkenaan berbeza dari muzik dibawakan Last Child.
"Konsep awalnya hanya menggunakan gitar akustik tetapi untuk mengasilkan sesuatu yang lebih berbeza saya cuba teroka lebih jauh.
"Sentuhan string dan mesin taip membuatkan pendengar asyik dan tidak boleh melupakan melodinya," katanya.
Selain Surat Untuk Starla, Virgoun turut menghasilkan single Bukti yang video klipnya kini sudah meraih hingga 60 juta tontonan.
