Erma: Sudah cukup, cukup sudahlah
Selepas mengungguli kategori drama Anugerah Skrin (ASK) 2017 menerusi Pesan Dari Tuhan, Erma Fatima mengumumkan beliau ingin mengundur diri daripada bertanding lagi di pentas kelolaan TV3 itu pada masa akan datang.
Katanya biarlah kemenangan pada acara yang berlangsung malam tadi itu menjadi pengiktirafan terakhir buatnya daripada penganjur ASK.
Namun menjelaskan keputusan itu Erma berkata dia hanya enggan terbabit dalam penilaian di ASK saja dan bukan pertandingan atau festival lain.
“Saya hanya tidak akan bertanding di pentas Anugerah Skrin. Selepas 25 tahun bergiat sebagai anak seni, inilah masanya untuk saya berhenti.
“Sudah cukuplah. Saya ingin memberikan peluang itu kepada orang lain,” katanya yang ditemui media di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur malam tadi.
Pesan Dari Tuhan membolot empat anugerah pada acara tahunan yang memberi pengiktirafan kepada rancangan televisyen dan filem-filem buatan Malaysia.
Kategori itu adalah drama terbaik, pengarah terbaik drama, lakon T terbaik dan pelakon pembantu lelaki terbaik yang dimenangi Remy Ishak.
Menurut Erma Pesan Dari Tuhan itu dibuat hasil kebimbangannya terhadap kedudukan semasa anak bangsa yang berpecah-belah sekarang.
"Saya sampaikan pesanan itu melalui perlambangan dan Pesan Dari Tuhan ini dibuat untuk kepuasan peribadi," katanya.
Menurut Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 49, keputusan tidak akan bertanding berkenaan bagaimanapun hanya meliputi kategori peribadi.
“Saya tidak bertanding sebagai pengarah, sebaliknya jika pelakon atau sesuatu karya dipertandingkan untuk ASK saya tiada masalah,” katanya.
Bagaimanapun kata kakak kepada Datin Seri Umie Aida itu, keputusannya tidak bermakna dia ingin meninggalkan industri seni dalam masa terdekat.
“Saya tidak akan berhenti berkarya. Cuma sama ada orang lain yang akan mengarah... kalau saya rindu, saya mengarahlah," katanya.
Dalam perancangan lain, Erma berkata, dia ingin memberi fokus terhadap jenama diasaskannya iaitu Mak Cun.

