Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Liza Hanim buat persediaan lebih rapi untuk GV4

Peserta Gegar Vaganza musim keempat (GV4) Liza Hanim berazam untuk memberikan persembahan lebih baik selepas menerima standing ovation (berdiri sambil memberikan tepuk sanjungan) daripada juri profesional.

Liza mengakui, dia sanggup melakukan apa saja termasuk melakukan teknik ‘tarik suara’ atau mengeluarkan nada tertinggi - sekiranya perlu - pada setiap minggu konsert GV4 berlangsung.

“Saya hendak pastikan akan kekal di sini (GV4), caranya adalah dengan bagi je… (tarik suara),” katanya.

Pada minggu kedua GV4, Liza membuktikan keunggulannya dengan menggunakan suara bernada tinggi sewaktu menyampaikan lagu Aku Hanya Pendatang oleh Francissca Peter.

Liza berjaya meraih kedudukan pertama dengan mata sebanyak 83.8 peratus selain menerima standing ovation daripada pengarah muzik Datuk Ramli MS (gambar, bawah) dan juri dari Indonesia Hetty Koes Endang.

Bagi Ramli atau lebih mesra dipanggil Tok Ram itu, Liza sememangnya peserta yang layak diberi pujian kerana dia berlatih dalam tempoh cukup singkat, tidak seperti peserta lain.

“Hanya dengan sekali latihan, dia boleh buat persembahan begitu, ia sangat hebat. Berilah dia kredit. Sebutannya terang dan jelas, Liza mendalami lagu itu dengan baik.

“Dia tidak menyanyi macam Francissca langsung,” katanya yang ditemui selepas konsert kedua GV4 di Kuala Lumpur kelmarin.

Ketiadaan waktu untuk membuat latihan secukupnya disebabkan beberapa jam sebelum bersaing sengit dengan 11 peserta lain, Liza perlu ke Singapura bagi memenuhi undangan sebuah acara.

“Saya tidak mahu menarik diri kerana perjanjian sudah dibuat tiga bulan sebelum nama diumumkan menyertai GV4. Ini adalah amanah sebagai penyanyi,” kata Liza atau nama penuhnya Haliza Hanim Abdul Halim, 37, itu.

Ferhad tersingkir

Minggu kedua GV4 menyaksikan Raja Azura, peserta pertama yang diramal tersingkir kekal bertanding untuk minggu seterusnya.

Sebaliknya, Ferhad yang membawa lagu Harus Terpisah dinyanyikan penyanyi Indonesia Cakra Khan terpaksa menghentikan perjuangannya selepas menerima markah paling rendah.

Untuk minggu ketiga, Liza ditugaskan untuk menggalas cabaran membawakan Lagu Untukmu nyanyian kumpulan Meet Uncle Hussain.

Penyanyi Siapa Sangka Siapa Menduga itu memang sudah bersedia untuk menggunakan suara bernada tinggi sekali lagi sambil mengaitkan persembahan minggu lalu dengan yang ketiga.

“Kalau saya tidak bagi 100 peratus, rugilah,” katanya.
 

Lihat Komen
ADS