Minat mendalam terhadap muzik gamelan dan rasa bimbang dengan nasib seni muzik itu yang kurang mendapat perhatian golongan muda, mendorong Nurul Zaimah Zulkifli untuk mengetengahkan irama itu dalam industri muzik tempatan.

Nurul Zaimah, 21, atau lebih dikenali Mimah Zulkifli berkata minatnya terhadap irama gamelan bermula sejak di sekolah menengah lagi selepas diperkenalkan oleh guru sekolahnya.

“Saya ingin mempelajari dengan lebih mendalam seni muzik gamelan lalu melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Seni Persembahan Tradisional Gamelan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak 2014.

“Kini saya menyambung pengajian dalam peringkat ijazah sarjana muda bidang yang sama juga di Aswara dalam usaha mempersiapkan diri mencapai hasrat membawa irama gamelan dalam industri muzik tempatan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program ‘Nine 11’ terbitan Bernama News Channel (BNC) di Kuala Lumpur hari ini.

Mimah yang berasal dari Sandakan, Sabah berkata beliau berharap dapat menghasilkan sebuah album yang menghimpunkan muzik gamelan yang disifatkannya sangat unik selain instrumennya jarang digunakan dalam sesebuah muzik.

Sebagai langkah permulaan dalam industri muzik, Mimah telah mengeluarkan single sulungnya berjudul ‘Usah Mendua’ yang berirama balada dan pop bulan lepas, hasil ciptaannya sendiri dan diharap lagu itu dapat diterima peminat. -Bernama