Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Sebanyak 3,600 bungkus makanan diagihkan oleh penerbit dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki kepada tiga kem pelarian Rohingnya di Bangladesh tetapi ia masih belum mencukupi bagi membantu mereka.

Afdlin berkata, keadaan hidup terlalu mendesak tanpa keperluan asas mencukupi mengakibatkan bantuan dibawa tidak mampu menampung kesemua penghuni yang dilawatinya di kem Kutupalong, Thankali dan Balukhali.

“Jumlah pelarian meningkat dari semasa ke semasa, seberapa banyak bekalan asas seperti beras kami bawa pun tidak akan mencukupi.

“Kami masih mengharapkan bantuan daripada rakyat Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.

Etnik Rohingnya mula membanjiri kem pelarian di Bangladesh kerana melarikan diri dari kekejaman tentera Myanmar sejak tahun 1991.

“Pada saya mereka adalah manusia dan harus dibantu. Bantulah mereka daripada terus-menerus dizalimi kerajaan Myanmar,” kata Afdlin yang juga pelakon itu.

Misi kemanusiaan yang dianjurkan Yayasan Afdlin Shauki bersama Yayasan Kubra dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu bermula sejak 5 November lalu.

Ini bukanlah kali pertama pelakon Papadom itu menyertai misi kemanusiaan di luar negara.

Sebelum ini dia pernah ke Gaza pada 2012, kemudian membantu pelarian Syria di Jordan dan Lubnan manakala terbaru, Bangladesh.

Tersentuh hati dengan nasib pelarian Rohingnya membuatkan Afdlin sanggup bertungkus-lumus menggerakkan misi kemanusiaan hingga ke Bangladesh.

“Sangat menyayat hati, meruntun jiwa apabila saya melihat keadaan dan tempat tinggal mereka. Dahulu begitu ramai yang tidur di bawah pokok dan tepi jalan raya.

“Walaupun sekarang lebih ramai yang dilihat dapat berteduh di bawah kem diperbuat daripada plastik dan buluh, kawasan itu masih terus sesak,” katanya yang bakal pulang ke tanah air esok.

Dalam perkembangan lain, Yayasan Afdlin Shauki dijangka akan turut menjalankan misi bantuan bagi meringankan beban dialami mangsa banjir di Pulau Pinang pada 13 hingga 15 November ini.

Lihat Komen
ADS