Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nadzmi Adhwa serik tak memilih kawan
Diterbitkan:  Nov 8, 2017 9:38 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Selain mengaku akan lebih berhati-hati memilih rakan, Nadzmi Adhwa yang dicekup polis atas kesalahan memiliki dadah jenis ganja baru-baru ini turut memohon maaf atas kesilapan dilakukan.

Pelakon dan pengacara itu malah menyesali serta berazam tidak sesekali akan mengulangi perbuatan berkenaan.

“Saya yakin tidak bersalah dalam hal ini dan dibebaskan kurang dari 24 jam selepas ditahan pada malam Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Mindorder Sdn Bhd.

Mindorder adalah syarikat pengurusan yang menaungi Nadzmi atau nama penuhnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 25.

Jumaat lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menahan kereta jenis Honda Jazz milik pelakon terbabit di sebuah stesen minyak.

Pelakon itu ditahan bersama dua lagi rakannya kira-kira jam 1.30 pagi kerana disyaki memiliki ganja seberat 5.97 gram yang disembunyikan di tempat duduk bahagian pemandu.

Menurut hos siri Jalan Jalan Makan Angin itu, dia terperangkap hingga ditahan pihak berkuasa ekoran terlalu mempercayai rakan baiknya.

Katanya, sebaik ditahan dia dimaklumkan pihak berkuasa bahawa rakannya itu memang sudah lama berada di bawah pemerhatian polis.

“Nasib tidak menyebelahi saya apabila pihak berkuasa menahan kami bertiga termasuk dua orang rakan baik yang kebetulan ada bersama saya.

“Kesilapan saya adalah terlalu mempercayai rakan dan mudah terpengaruh. Bagaimanapun, insiden itu memberi pengajaran kepada saya agar lebih berhati-hati dalam memilih kawan,” katanya.

Lihat Komen
ADS