Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas penampilan kedua Aishah di Gegar Vaganza musim keempat (GV4) diperkatakan kini seorang pereka fesyen antarabangsa sedia mencabar diri sendiri untuk memberi kelainan buat penyanyi Camar Yang Pulang itu.

Lebih penting, berdasarkan penjelasannya kepada Malaysiakini Amir Kadir nampaknya bersungguh-sungguh mahu menampakkan Aishah sebaik mungkin di atas pentas nanti dan sesuai dengan kedudukannya yang diminati ramai.

Berdasarkan pemerhatiannya kata Amir, Aishah mempunyai identiti tersendiri yang wajar diserlahkan menerusi penampilan yang sesuai dengan gaya dan pakaiannya.

“Aishah seorang berhijab, justeru saya bercadang untuk menonjolkan ciri-ciri seorang muslimah dan sesuai dengan karakter lemah lembut yang ada pada dia,” katanya.

Selepas menyepi sekian lama daripada persembahan berskala besar Aishah membalas harapan peminatnya dengan menyampaikan persembahan bertenaga pada penampilan pertama GV4 dua minggu lalu.

Dia juga mendapat standing ovation daripada dua juri GV4 iaitu Datuk Cef Wan dan Hetty Koes Endang.

Bagaimanapun pada minggu kedua persembahan Aishah sedikit merosot sehingga kedudukannya sebagai penyanyi yang mendapat markah tertinggi diambil alih oleh Liza Hanim.

Tidak cukup dengan itu, sebahagian orang memperkatakan fesyen yang dikenakan Aishah semasa membuat persembahan minggu kedua Ahad lalu.

Akan berbincang esok

Ada cakap-cakap orang mendakwa kononnya tiada mana-mana pihak mahu menaja pakaian Aishah namun dia menafikannya.

Sebaliknya menurut Aishah ada ramai pereka yang menawarkan diri mencipta pakaian untuknya.

Kata Amir, jika tiada aral melintang daripada pihak Aishah, keputusan muktamad akan dicapai dalam tempoh sehari dua lagi apabila mereka bertemu dan berbincang mengenainya.

“Esok kami akan mengadakan perbincangan, insya-Allah segala-galanya boleh bermula dari situ. Saya yakin.

“Dan sama ada saya akan diterima menaja pakaian Aishah di GV4 untuk setiap minggu, itu belum pasti. Ia harus mengikut keselesaan Aishah,” katanya.

Untuk rekod Amir menggilap namanya dalam dunia reka fesyen menerusi ciptaan untuk artis popular tempatan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ziana Zain.

Dia pernah berhijrah ke luar negara selama 16 tahun sebelum pulang ke tanah air tahun lalu.

Amir (gambar) melangkah lebih jauh selepas memulakan kariernya di Dubai dan Kuwait dengan tidak jemu-jemu menyertai minggu fesyen di sana.

“Hasilnya, saya didatangi seorang pencari bakat untuk pereka fesyen artis terkemuka,” katanya.

Antara selebriti yang pernah mendapatkan sentuhan Amir ialah Beyonce, Madonna, Jessie J, Lady Gaga, Taylor Swift dan Paris Hilton.

Pun begitu, menyedari budaya tempatan dan luar sungguh berbeza, Amir memerlukan strategi khusus untuk menghadapi cabaran mencipta pakaian Aishah.

“Saya rasa saya tahu apa dia (Aishah) nak. Dan hasil itu nanti akan disesuaikan mengikut adab dan budaya di sini kerana kita tak boleh membaratkan Malaysia.

“Apa yang kita boleh buat ialah mencantikkan, dan itu adalah tugas mencabar terutama untuk orang Asia.

“Insya-Allah, doakan apa saya buat nanti diterima umum dan Aishah suka, malah dapat rasakan itu adalah diri dia yang sebenar,” katanya.

Lihat Komen
ADS