Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mell Sakura Band tak mahu terburu-buru lepas peluk Islam

Vokalis Sakura Band, Mell ingin mendalami ilmu al-Quran selain mencekalkan hati untuk menukar penampilan dengan bertudung selepas memeluk Islam.

Kata Mell, dia sentiasa mendorong dirinya untuk menjadi seorang Muslim cemerlang, justeru proses mempelajari dan mengenali Islam ingin dilakukan tanpa jemu.

“Sudah lama saya merancang untuk memasuki kelas agama, insya-Allah suatu hari akan cuba berguru dengan seorang ustaz.

“Selama ini saya banyak belajar mengenai Islam daripada ibu. Dialah yang banyak memberi dorongan dan penguat semangat selama ini,” katanya.

Mell atau nama sebenarnya Melly Matius, 29, itu ditemui pada sidang media Hari Terbuka SL1M di Kuala Lumpur semalam.

Mell antara artis yang bakal memberi motivasi dan persembahan pada acara yang akan berlangsung pada 18 November di Sepanggar, Sabah itu nanti.

Mell - penganut ajaran Kristian - terbuka hati menukar kepercayaan selepas mendapat sokongan ibunya Nur Batrisyah, 46, yang terlebih dahulu menerima hidayah itu tiga tahun lepas.

Malah sikap rakan-rakan seperjuangan dalam muzik yang rajin mengerjakan solat fardhu turut membuatkan hatinya kagum melihat keindahan Islam.

“Seringkali saya melihat anggota band yang lain menunaikan solat lima waktu, ia benar-benar menyentuh jiwa ini untuk segera memeluk Islam ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, Mell merahsiakan status agamanya dan hanya mengumumkan ia secara rasmi bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada 10 Oktober lalu.



Dalam bab menukar imej pula, kata penyanyi Polaroid itu, dia mahu memulakan langkah itu secara perlahan-lahan kerana tidak mahu hatinya nanti hanya separuh jalan menyahut hidayah.

“Sebelum memeluk Islam memang pernah suka-suka bertudung dan sejujurnya memang saya terus tertarik untuk berhijab buat selama-lamanya.

“Cuma diharap peminat dapat faham kerana saya tidak mahu melakukannya terburu-buru, nanti sekejap pakai tiba-tiba buka tudung pula.

“Dan jika sudah bertudung, pasti corak persembahan di atas pentas juga turut berbeza,mungkin saya akan menyanyi sambil duduk atas kerusi,” katanya yang berharap diberikan kekuatan untuk terus istiqamah.

Lihat Komen
ADS