Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi Faizal Tahir bakal menyerikan penutup program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang akan diadakan di Sepanggar, Sabah, pada 18 November ini.

Selain menghiburkan, Faizal yakin pembabitannya dalam program itu dapat dimanfaatkan buat pengunjung yang ingin mengetahui rahsia kejayaannya hari ini.

Katanya, dia tidak mahu menjadi seorang penyanyi yang hanya mengejar glamor, sebaliknya ingin menggalas tanggungjawab sosial mendidik minda.

“Selama 11 tahun turun naik pentas, empat hingga lima tahun kemudian baru sedar apa saya boleh beri kepada masyarakat.

“Saya bukan pakar akademik, justeru motivasi yang akan diberikan adalah berdasarkan ilmu pengalaman hidup.

“Ini adalah peluang yang dicari-cari selama ini kerana saya percaya SL1M membuka begitu banyak peluang pekerjaan untuk graduan dan juga yang bukan,” katanya.

Faizal Tahir atau nama penuhnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 39, itu ditemui pada sidang media Hari Terbuka SL1M di Kuala Lumpur semalam.

Selain Faizal, turut hadir penyanyi Akim Ahmad, Melati dari kumpulan pelawak Zero, Estranged dan Sakura Band - persembahan dan motivasi turut melibatkan barisan selebriti ini.

Sepanjang 2017, SL1M bawah Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia di tujuh buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

SL1M yang dilancarkan pada 2011 adalah satu program kebolehpasaran bertujuan membantu graduan atau yang bukan graduan meningkatkan tahap keupayaan diri dengan ilmu, kemahiran, pengalaman bekerja dan mendapatkan pekerjaan.

Bagi melabuhkan tirai program itu, Hari Terbuka SL1M 2017 akan diadakan selain ia mengekalkan konsep sama yang turut menawarkan peluang pekerjaan dan latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang mahupun peringkat kelulusan.

Akim, 26, turut menasihatkan pencari kerja di Sabah merebut hampir 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh syarikat gergasi yang mengambil bahagian seperti Petronas, Telekom Malaysia dan Bousted Holding Berhad.

“Saya berharap program seperti ini dapat membantu pencari kerja seramai yang mungkin dan ini adalah peluang besar tidak harus dilepaskan oleh warga Sabah,” katanya.

Manakala Melati atau Mohd Syaiful Doli Sharif, 28, pula berharap kehadiran artis dapat menaikkan semangat serta memberi inspirasi kepada pencari kerja bawah Negeri di Bawah Bayu itu.

“Dulu memang susah belajar sampai tingkatan 1 saja, dan saya reda kerana anggap itu memang bukan rezeki saya untuk pergi lebih jauh.

"Apabila mengenangkan untuk mendapatkan ilmu pembelajaran di kampung dulu terpaksa naik bot bukan bas maka wajarlah orang Sabah hadir pada Hari Terbuka SL1M dan merebut peluang sebegini," katanya.

Lihat Komen
ADS