Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Izzue Islam mendedahkan dia melalui detik getir apabila diherdik dan hampir dibelasah seorang lelaki tua tanpa bersebab.

Kata Izzue, kejadian berlaku ketika dia menghadiri sebuah majlis tanpa ditemani pengurus yang juga isterinya, Nurinafilah Waharudin.

"Saya terkejut apabila pak cik itu tiba-tiba datang dan ugut nak pukul sebelum memaki hamun saya," katanya.

Izzue atau nama penuhnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 27, ditemui pada sidang media majlis menandatangani kontrak filem Pailang JB di Kuala Lumpur kelmarin.

Walaupun tanpa mengetahui sebab musabab lelaki tua itu menyerangnya, Izzue berpendapat ia mungkin ada kaitan dengan lakonannya dalam Patahnya Sebelah Sayap yang disiarkan tahun lalu.

Dalam drama siri itu, Izzue membawa watak antagonis, Amzar.

Tak ada masalah

Tambah menguatkan lagi keyakinannya itu apabila pak cik berkenaan mengingatkannya supaya menjaga kelakuan.

"Jangan cuba nak jadi jahat," katanya.

Selain insiden terbabit, Izzue turut menyatakan rasa terkilan apabila sebilangan pengikut di Instagram mula memutuskan hubungan dengannya di platform itu.

Hal itu juga berlaku ketika Patahnya Sebelah Sayap masih bersiaran di televisyen.

"Pasti lakonan dalam drama itu membawa kesan mendalam buat mereka hingga ada yang mengambil keputusan untuk berhenti mengikuti saya di Instagram," katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai Pailang JB, Izzue berkata dia sanggup mengambil risiko untuk berlakon di bawah Simpang 3 Production kerana beranggapan ia bukanlah suatu perkara yang perlu dibimbangkan walaupun itu filem pertama akan dihasilkan syarikat berkenaan.

"Walaupun ini pengalaman pertama mereka, bagi saya ia tak ada masalah.

"Apa yang pasti saya terima tawaran ini kerana dapat membawa aksi sukan dan pemotoran selain berpeluang mendalami seni mempertahankan diri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS