Pekin pamer bakat terpendam dalam Dendam Laksamana
Pelakon filem dan teater Pekin Ibrahim hanya mengambil masa tiga minggu untuk belajar menyanyi, bergurindam, berpantun dan bersilat bagi memastikan dapat membawa watak utama dalam teater muzikal Bangsawan Dendam Laksamana.
Walaupun tempoh begitu singkat, Pekin yang pernah merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia 2016 tidak patah semangat untuk membawa watak Laksamana Megat Sri Rama buat pertama kali.
“Bukan mudah kerana dalam pementasan ini memerlukan kami untuk menyanyi, bersilat, berpantun dan bergurindam jadi saya perlu memahami skrip dengan baik," katanya kepada Bernama selepas pementasan bangsawan itu di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) malam tadi.
Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 36, berkata selain itu, teater bangsawan memerlukan beliau dan pelakon lain untuk memahami skrip dengan baik kerana ia berbeza dengan gaya bahasa teater yang lebih moden.
Dia yang sebelum ini terkenal dengan lakonannya dalam filem seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah pada 2010, Bunohan (2012) dan Munafik (2016) kini terus melangkah ke depan dengan mencuba bakat dalam bidang pementasan teater bangsawan, berkata selain latihan silat, bacaan skrip dan nyanyian, beliau juga perlu belajar meniup seruling.
Persembahan amat mencabar
Bangsawan Dendam Laksamana yang dipentaskan selama tiga hari bermula Jumaat lalu di Auditorium DBKL adalah hasil gandingan sulung Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dengan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Sendeng Malaysia dan Pat Ibrahim Project Entertainment.
Persembahan teater selama dua jam itu turut menampilkan Nadia Aqilah, Megat Sharizal, Anwar Rusdini dan Hamzah Tahir.
Ia menceritakan kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang yang digarap daripada buku Masyhor Malaya karya Shaharom Husain yang diterbitkan pada 1978.
Pengarahnya Taufik Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pat Ibrahim, 51, berkata banyak cabaran yang perlu dilalui untuk mementaskan teater bangsawan sulungnya itu kerana “mempunyai formula atau bentuk yang perlu kita ikut.”
“Semua garis panduan dan teras dalam persembahan itu juga perlu kita ikut dan tidak boleh dilanggar saja,” katanya dan menambah ia berbeza dengan pementasan teater muzikal yang lain.
Walaupun mempunyai pengalaman dalam bidang seni persembahan sejak 25 tahun lepas, Pat menganggap persembahan kali ini amat mencabar kerana perlu sentiasa mematuhi cara persembahan teater muzikal bangsawan.
Diolah dengan bijak
Pat yang pernah terlibat dalam persembahan teater Puteri Gunung Ledang The Musical dan P Ramlee The Musical berkata beliau terpanggil untuk mementaskan bangsawan bagi menghidupan semula teater tersebut yang kini semakin dilupakan.
Bagi Nadia, 32, yang merupakan pelakon drama Emil Emilda, Sindarella (2007) dan filem Zaiton: Ceritaku (2012) berkata cabaran utama baginya dalam persembahan kali ini adalah untuk menjiwai watak Wan Anumi, selain keserasian dengan semua pelakon.
Sementara itu, pelakon dan penggiat teater terkenal negara, Fauziah Nawi dalam akaun Facebooknya memuji kemampuan pelakon-pelakon yang terlibat dalam persembahan teater bangsawan tersebut.
"Saya selalu cakap dalam kelas lakonan saya, nak jadi pelakon yang sempurna kena tahu menari, menyanyi dan bersilat. Lihat ini terbukti (dalam teater bangsawan ini) . Hanya yang ada kelebihan ini dipilih beraksi dalam Bangsawan Dendam Laksamana arahan Pat Ibrahim," katanya.
Pengarah filem, Virginia Kennedy dari Australia yang telah menetap di Malaysia sejak 20 tahun lepas, pula berkata: "Saya rasa ia benar-benar menghiburkan.”
“Jalan ceritanya benar-benar berkesan dan menyedihkan serta diolah dengan bijak… sedikit macam (karya) Shakespeare,” katanya.
- Bernama

