Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Gila Gila kuat tekad, tak goyah depani masalah

Ketika maklumat bertali arus begitu pantas pada ketika ini, tidak mudah untuk bahan cetak bersaing dalam dunia digital sekarang, namun majalah Gila Gila menyahut cabaran itu untuk cuba kekal relevan ketika usianya mencecah 40 tahun.

Untuk menempuh halangan itu juga bukan satu usaha mudah.

Bagi Editor Gila Gila, Ronasina, apa yang dihadapi itu dianggap sebagai cabaran yang akan lebih mematangkan majalah berkenaan.

Menurutnya, ketika Gila Gila sibuk 'berperang' untuk mengatasi kemerosotan penjualan majalah bercetak yang semakin merudum pada masa sama mereka juga berdepan kesukaran untuk mencari dan mengasuh bakat baru.

"Kita kena terus mencari bakat baru walaupun memang payah nak jumpa generasi sekarang yang mempunyai sentuhan asli dan jati diri tempatan.

"Tetapi saya akui memang kami bermasalah untuk tempuh masa akan datang," katanya kepada Malaysiakini.

Gila Gila (dulu ditulis sebagai Gila-Gila) terbit buat pertama kali pada 1 April 1978 dan mempunyai identiti tersendiri sebagai majalah humor yang tajam dengan sindiran atau kritikan sosial.

Pada suatu ketika majalah itu pernah terbit dua kali sebulan dan mencatatkan jumlah jualan lebih 100,000 naskah setiap keluaran.

Ia juga berjasa melahirkan ramai kartunis tempatan.

Bagaimanapun sejak sedekad terakhir ini pengaruh Gila Gila semakin merosot. Selain faktor internet kemasukan majalah asing - seperti manga - dan filem yang diadaptasi daripada komik Marvel dikatakan turut memberi kesan kepada pengedaran Gila Gila.

Ada pelapis baru

Kata Ronasina ketika ini ramai pelukis kartun terpengaruh dengan gaya luar menyebabkan Gila Gila sukar nak menyerap mereka untuk dikembangkan seterusnya menghiburkan pembaca.

Menurut pemilik nama sebenar Mohd Affandi Ramli itu, Gila Gila juga bermula dengan pengaruh kartun dari barat namun ia bersifat sementara.

"Pada 1970-an dulu memang kartunis Gila Gila terpengaruh dengan budaya barat tetapi mereka kemudian berjaya serapkan budaya tempatan hingga akhirnya tidak nampak kesan tiru itu.

"Teknik persembahan barat dipinjam seketika sebelum Gila Gila berjaya menemui acuan sendiri, malah jadi ikutan majalah pesaing," katanya.

Menurut Ronasina, 43, Gila Gila masih berhempas pulas untuk mempertahankan majalah itu selepas melalui zaman jatuh bangun sejak 39 tahun lalu.

Malah jika mengimbau sejarah Gila Gila katanya majalah itu pernah mengalami peristiwa terburuk apabila berlaku perpindahan kartunis beramai-ramai ke majalah pesaing.

"Ia berlaku pada sekitar 1988 sewaktu Gila Gila baru berusia 10 tahun. Ketika itu yang bertahan di Gila Gila hanya dua orang saja.

"Mungkin pada masa itu orang ramai ingat kami akan terus jatuh tergolek, tapi apabila Gila Gila merekrut bakat baru, kami dapat mengembalikan pencapaian sebelum itu hingga mencapai kedudukan nombor satu," katanya.

Disember depan Gila Gila dijangka mengadakan sambutan khas sempena kemunculan edisi ke-800 majalah itu di Rumah Kartun dan Komik yang terletak di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Pada acara itu juga, sekurang-kurang 10 pelapis baru Gila Gila akan diperkenalkan.

Lihat Komen
ADS