Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Teater Pendeta Zaba kenang jasa anak jati N Sembilan

Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Kebudayaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS) akan menganjurkan pementasan teater muzikal Pendeta Zaba di Auditorium D'Sury, Kompleks JKKNNS di Seremban selama tiga hari mulai 2 Disember depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan berkata pementasan teater muzikal arahan Lokman Ghani dan Zakaria Ariffin sebagai penulis skrip yang julung kali diadakan itu membariskan dua pelakon terkenal tanah air iaitu Datuk Ahmad Tamimi Siregar yang membawa watak Pendeta Zaba semasa dewasa dan Datuk Jalaluddin Hassan yang membawa watak Datuk Onn Ja'afar.

"Nama besar Pendeta Zaba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad yang lahir pada 16 Sept 1895, tidak dinafikan lagi dalam sejarah tanah air sebagai seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negara. Beliau merupakan seorang sasterawan dan cendekiawan Melayu yang dihormati dan aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan.

"Malah, beliau juga salah seorang pejuang dalam memerdekakan tanah air melalui mata penanya. Pementasan teater muzikal Pendeta Zaba ini sebagai mengenang jasa dan sumbangan bakti beliau kepada negara ini," kata Mat Ali pada sidang media hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri Datuk Abd. Razak Ab. Said dan Pengarah JKKNNS Mohd Radzi Omar.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, "Bersesuaian dengan tokoh Pendeta Zaba sebagai anak jati negeri ini, sudah tiba masanya kerajaan negeri mengangkat atau mengadakan pementasan dalam bentuk drama muzikal tentang ketokohan Zaba."

Lokman pula berkata, "Seramai 40 orang artis budaya dan pemuzik akan terlibat dalam pementasan ini yang melibatkan gabungan Kumpulan Kesenian JKKNNS dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah," katanya.

Tiket bagi menyaksikan pementasan ini berharga RM50 untuk korporat, RM30 untuk orang awam dan RM10 untuk pelajar dan tiket boleh didapati di Kompleks JKKNNS di sini atau hubungi talian 06-7676793 dan 06-7636308.

- Bernama

Lihat Komen
ADS