Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tinariwen: Suara perjuangan gitar elektrik gurun Sahara

ULASAN | Ini bukan ulasan, bukan reviu. Ini sekadar catatan pengalaman yang ingin dikongsi bersama selepas puas menonton, merasai dan menikmati muzik rock blues dari gurun Sahara yang dipersembahkan di ibu kota malam kelmarin (13 November 2017).

Yang hebat bagi saya - sekadar sebagai peminat muzik pop rock – persembahan band Tinariwen yang merupakan sekumpulan enam pemuzik dari Sahara di wilayah Afrika Barat dengan stail rock kontemporari yang mereka adunkan dengan nada muzik tradisi kaum Tuareg.

Dengan bantuan Google dan Wikipedia serta ingat-ingat lupa saya tentang mata pelajaran geografi sekolah menengah (atau dulunya dipanggil ilmu alam), kaum Tuareg merupakan kumpulan orang nomad yang mengembara serta mengembala unta dan ternakan lain sekitar kawasan gurun yang merangkumi barat daya Libya ke barat daya Algeria, Niger, Burkina Faso dan Mali.

Kebanyakan mereka beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Tamasyek. Sebagai kumpulan minoriti di kebanyakan negara gurun tersebut, kepentingan mereka sering diketepikan kerajaan masing-masing.

Salah satu negara tersebut yang merdeka lebih separuh abad yang lalu adalah Mali. Selepas bebas daripada jajahan Perancis pada 1960, kaum Tuareg yang merasa diri dipinggirkan telah bangun melawan kerajaan baru. Namun, pemberontakan itu dihancurkan oleh tentera Mali.


Pengasas band Tinariwen, Ibrahim Ag Alhabib (gambar, atas), dikatakan melihat sendiri bagaimana ayahnya dihukum bunuh oleh tentera Mali kerana menyertai perjuangan kaum Tuareg menuntut hak autonomi pada 1963.

Dia sendiri mengikut jejak perjuangan bapanya apabila menyertai gerila Tuareg pada 1970-an dan 1980-an.

Walaupun terlibat dengan gerakan pembebasan itu, ia tidak menghalang minatnya bersama rakan-rakan lain untuk bermain muzik, dan seterus mencipta lagu.

Mereka tidak sekadar bertumpu kepada lagu-lagu tradisional tetapi mula mencari inspirasi daripada budaya pop Barat melalui irama blues dan rock.

Selepas perjanjian damai dicapai di antara kerajaan Mali dan gerila Tuareg pada 1991, Ibrahim dan kumpulannya menumpukan sepenuh masa kepada muzik. Lagu-lagu yang mereka bawakan tidak dipisahkan daripada perjuangan hak Tuareg, dan meluas kepada hak asasi sejagat.

Tinariwen dalam bahasa Tamasyek biasanya diterjemahkan sebagai Anak-Anak Padang Pasir.

Malam kelmarin, saya yang baru sahaja kenal band itu terlopong melihat gaya dan penampilan mereka – bermain muzik dengan penuh pengalaman, tenang, amat berbakat dan menerkam sanubari.

Apabila lagu-lagu mereka berentak perlahan, ia seperti berbisik meminta hati mendengar rayuan. Apabila nadanya rancak, tumit dan tapak kaki mula menghentak lantai manakala tangan bertepuk riang. Itulah kesan muzik dan persembahan live Tinariwen bagi saya.

Maafkan saya kerana tidak mampu menamakan satu persatu lagu kumpulan ini yang kebanyakannya dipersembahkan dalam bahasa Tamasyek.

Namun, yang lebih mengujakan adalah gaya live mereka.

Rayuan panjang petikan gitar

Band ini tergolong dalam ketegori di mana persembahan live mereka jauh lebih hebat berbanding sekadar mendengar lagu mereka melalui klip video atau rakaman CD.

Apa yang saya lihat, Ibrahim, 57, selaku ketua band dengan kepakaran bermain gitar elektrik dan suara serak merdunya memukau penonton dengan gaya dan nada seperti yang dihasilkan oleh Neil Young, Led Zeppelin, Santana, The Doors, dan cebis-cebisan Sonic Youth.

Dari sudut petikan gitar, ada yang berbunyi seperti merayu panjang, ada yang keras marah, dan ada pula yang tersentap-sentap seperti gaya muzik reggae, terutama cara persembahan Bob Marley & The Wailers.

Jika perlu dibandingkan dengan bakat tempatan pula, rasanya sesetengah lagu Tinariwen berentak dengan cebisan rasa psychedelic seperti Lagu Tiga Kupang versi A. Romzi & The Hooks pada 1960-an, dan Rupa Tanpa Wajah karya M. Nasir melalui kumpulannya Kembara pada pertengahan 1980-an.

Rujukan saya hanya terhad setakat ini sahaja. Mungkin ada pakar muzik yang lebih tahu tentang evolusi gitar bunyian sedemikian.

Selain petikan gitar Ibrahim, penampilan Abdallah Ag Alhousseyni (gambar, atas) turut memukau.

Dengan sentuhan gitar akoustiknya, lembut suara nyanyiannya, dan apabila dia merehatkan alat muziknya seketika, tersusun kemas gemalai rentak tarinya di atas pentas.

Jika gerak tari Abdallah agak perlahan, Alhassane Ag Touhami pula mempersonakan penonton dengan nyanyian suara nyaringnya sambil bermain gitar, dan menari tanpa henti.

Malah, tenaga pemuzik yang rasanya sudah lebih separuh abad usianya ini menakjubkan kerana bertahan selama lebih sejam setengah.

Melengkapkan kumpulan ini adalah Eyadou Ag Leche yang bermain bass, Said Ag Ayad (gendang) dan Elaga Ag Hamid (gitar irama) – itu pun jika saya tidak tersalah orang. Maklumlah, mereka berada di pentas dengan kostum tradisi Tuareg, lengkap dengan kain ghutrah sebagai serban dan penutup muka.

Lirik kemanusiaan, anti kezaliman penguasa

Melalui carian online juga saya dapati lirik Tinariwen banyak menyentuh tentang kemanusiaan, anti-perang, kebuluran, kezaliman penguasa, salahguna kuasa kerajaan – pendek kata, ia soal protes and perjuangan hidup. Tentunya ia turut meraikan cara hidup dan kenangan padang pasir.

Apabila lirik-lirik sedemikian disalurkan kepada rentak rock blues dengan pengaruh Arab, Afrika, reggae dan banyak lagi, hasilnya memang mantap.

Kalau catatan saya ini bunyinya seperti seorang peminat yang baru terjumpa band yang dirasakannya hebat dan amat teruja, memang saya akui itulah perasaannya.

Sekurang-kurangnya itulah dirasakan sejak semalam hingga ke hari ini, dan mungkin juga esok serta hari-hari seterusnya. Bahangnya masih terasa.

Tinariwen yang awal bulan ini membuat persembahan di India dan Bangladesh akan meneruskan jelajah persembahan sedunia mereka ke Shanghai, Beijing dan Hong Kong minggu ini sebelum bertandang ke Tokyo minggu depan, dan kemudiannya berkunjung ke Eropah sehingga akhir tahun ini.

Untuk kita di Malaysia, terima kasih diucapkan kepada Eddin Khoo dan Pauline Fan serta badan budaya Pusaka kerana sudi membawa Tinariwen ke bumi bertuah ini.

 

 


 

WAN HAMIDI HAMID ialah seorang penulis dan pemerhati politik.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS