Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bront tak mahu jadi macam 'kacang lupakan Malaysia'
Diterbitkan:  Nov 16, 2017 6:48 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Pelakon Kala Malam Bulan Mengambang dan Terbaik Dari Langit, Bront Palarae, menganggap kenyataan pengarah terkenal Indonesia mengenainya semalam sebagai satu penghormatan.

Bagaimanapun kata Bront, dia berjanji untuk tidak melupakan Malaysia.

“Perkembangan positif saya di Indonesia tidak bermaksud saya akan melupakan terus tawaran daripada pengarah di Malaysia," katanya seperti dilaporkan Utusan Online hari ini.

Malaysiakini hari ini melaporkan kenyataan berbentuk penghargaan pengarah Pengabdi Setan, Joko Anwar, yang memuji bakat Bront.

"Jangan sampai kami curi dia daripada anda,” kata Joko yang mula tertarik dengan lakonan Bront selepas menyaksikan klip promosi filem Terbaik Dari Langit beberapa tahun lalu.

Hasil pemerhatian itu Joko mengambil Bront berlakon siri televisyen Halfworlds sebelum sekali lagi bekerjasama menghasilkan Pengabdi Setan.

Bront lahir di Alor Setar, Kedah kira-kira 30 tahun lalu dan turut berkecimpung dalam bidang pengarahan serta penulisan skrip.

Dia juga pernah menggondol beberapa anugerah termasuk pelakon lelaki terbaik Festival Filem Asean pada 2015 dan Anugerah Skrin pada 2010.

Selain itu lakonannya dalam filem Ola Bola! turut meninggalkan kesan besar kepada peminat filem tempatan.

Dalam Pengabdi Setan Bront membawa watak seorang duda yang perlu menyara hidup sambil membesarkan empat anaknya selepas kematian isteri yang mengalami penyakit aneh.

Sejak isterinya mati mereka berdepan dengan pelbagai kejadian aneh.

Kata Bront selepas menjayakan siri Halfworlds, dia menyedari ada keserasian antara dia dan Joko.

"Sebab itu saya bersetuju untuk menerima tawarannya membintangi Pengabdi Setan," katanya.

Pengabdi Setan akan mula ditayangkan di Malaysia Khamis depan.

Lihat Komen
ADS