Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon itu bukan saya - Idris Khan
Diterbitkan:  Nov 20, 2017 6:51 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Pelakon Idris Khan berkata jika benar dia adalah pelakon yang dikatakan menghamilkan bekas teman wanita, sudah pasti rancangannya untuk menikahi kekasihnya sudah musnah.

Tetapi katanya lagi, dia dan kekasihnya kini sedang sibuk dengan persiapan majlis yang bakal diadakan awal tahun depan.

"Rasanya kalau betul aktor itu diri saya, memang sahih saya dan bakal isteri tidak jadi berkahwin," katanya seperti dipetik BH Online, hari ini.

Idris, 29 tahun, dijadualkan berkahwin dengan model kelahiran Maghribi, Sanaa Jeljalane pada 20 Januari ini.

Minggu lalu, sebuah portal hiburan menyiarkan kisah wanita berusia 20-an yang mendakwa teman lelakinya yang juga seorang pelakon melarikan diri apabila mendapat tahu dia hamil tiga bulan.

Selain enggan bertanggungjawab, wanita itu juga mendakwa pelakon itu sering mengelakkan diri daripada membincangkan soal kewangan melibatkan kandungannya.

Idris atau nama penuhnya Idris Khan Abdul Ghaffar Khan antara pelakon yang dikaitkan sebaik sahaja isu itu timbul, termasuk oleh netizen.

Dia menafikan sekerasnya kaitan dengan dakwaan itu, malah berkata dia turut ingin tahu identiti pelakon terbabit.

"Siapa agaknya yang dimaksudkan itu? Saya pun nak tahu juga," kata yang popular dengan drama Abang Sado Jemur Kain.

Namun bagi Idris, isu itu tidak memberi kesan kepada dirinya yang kini berdebar-debar menunggu kehadiran bakal mertuanya yang akan tiba di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Apatah lagi menurutnya inilah kali pertama dia bakal bersua dengan keluarga kekasihnya selepas dua tahun bercinta.

“Apa pun, kami rancak mengatur persiapan pernikahan awal tahun depan. Kami pada awalnya merancang untuk mengadakannya tahun ini, tetapi disebabkan si dia berasal dari Maghribi, urusan dokumentasi agak renyah,” katanya penerbit filem Gates of Lazuardi itu lagi.

Lihat Komen
ADS