Fattah, Fazura selamat diijabkabul
Selepas empat hari dari tarikh mengumumkan pertunangan, Fattah Amin dan Fazura akhirnya melangsungkan pernikahan dalam sebuah majlis tertutup kira-kira jam 9.50 malam tadi.
BH Online melaporkan, pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin, 34, sah bergelar isteri kepada pelakon popular itu dengan sekali lafaz di sebuah hotel terkemuka, di ibu negara.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan sebaik pulang dari mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah, Fattah dan Fazura mengadakan sidang media bagi menjelaskan status mereka yang menjadi tanda tanya umum.
Pasangan itu sebelum ini dispekulasi telah bernikah sebelum berlepas mengerjakan umrah.
“Saya telah menghantar rombongan merisik Fazura pada 13 Nov lalu di kediaman keluarganya di Petaling Jaya, Selangor.
“Kami tidak bernikah di Mekah.
“Majlis yang diadakan di kediaman nenek Fazura pada 14 Nov lalu pula adalah kenduri doa selamat sempena meraikan pemergian kami ke Mekah,” katanya.
Dalam sidang media itu juga, Fattah memaklumkan akan mengadakan majlis pernikahan dalam masa terdekat manakala resepsi pula akan diadakan awal tahun depan.
Kisah percintaan mereka mula dihidu media apabila kedua-duanya membintangi drama bersiri Hero Seorang Cinderella.
Susulan daripada lakonan mereka yang dikatakan begitu serasi, peminat mencipta gabungan nama berserta tanda pagar #Fattzura.
Fattah juga pernah memberi kejutan dengan menghadiahkan sebanyak 500 kuntuman bunga mawar sewaktu sambutan ulang tahun penyanyi Sayangi Dirimu itu September lalu.

