Seseorang hakim bukan sekadar memutuskan apakah hukuman yang harus dikenakan ke atas seseorang yang disabitkan bersalah di mahkamah.

Kadang-kadang tugas mereka lebih daripada itu. Dan itu termasuk menasihati tertuduh supaya berbuat sesuatu yang lebih baik.

Itu yang berlaku ketika penyanyi Indonesia Marcello Tahitoe dibicarakan di Mahkamah Jakarta Selatan hari ini.

Marcello kini diadili atas tuduhan mengambil dadah jenis ganja.

Ketika memberi keterangan selepas disoal pegawai pendakwa mengenai kesan yang dialaminya selepas mengambil ganja, Marcello, 34, mengaku dadah itu membuat dirinya "lemas".

“Ya tubuh jadi lemas... rileks,” jawab Marcello.

Mendengar pengakuan Marcello - atau lebih mesra disapa Ello itu - ketua panel hakim lalu kemudian menyampuk.

"Saudara Ello... kalau mau semakin lemas, ya menikah. Bukan menghisap (ganja)," katanya disambut gelak ketawa orang ramai yang berada dalam mahkamah berkenaan.

Bagaimanapun untuk rekod istilah "lemas" yang diucapkan itu bukan bermaksud sukar bernafas, sebaliknya ia menggambarkan keadaan seseorang yang tenang, kendur dan santai.

Marcello mungkin kurang dikenali di Malaysia, namun dia sebenarnya anak seorang artis yang pernah mencipta nama besar di negara ini.

Ibu Marcello ialah Diana Nasution yang pernah mencipta nama besar di negara ini dengan lagu Benci Tapi Rindu.

Bapa Marcello pula ialah seorang pencipta lagu dan pemuzik, Minggoes Tahitoe.

Semasa disoal lanjut, penyanyi Berdiri Sampai Mati dan Apa Boleh Buat itu mengaku dia belum berumah tangga.

Dalam pada itu, Ello mengaku tidak pernah membeli ganja sendiri, sebaliknya dia mengirimkan wang kepada rakannya, Dieogo yang juga turut didakwa di mahkamah.

Perbicaraan disambung pada 5 Disember ini.