Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Air mata Nabila bukan dek patah hati sama Aedi

Tiada sesiapa yang ditinggalkan kekasih sebaliknya klip video memaparkan penyanyi Nabila Razali menangis teresak-esak itu cuma gimik semata-mata.

Namun disebabkan klip video itu jugalah nama Nabila tiba-tiba hangat diperkatakan umum kerana dia diandaikan dicurangi kekasihnya yang juga seorang artis.

Kata Nabila 'drama' itu hanya sebahagian daripada lakonan untuk melariskan single keduanya yang berjudul Pematah Hati.

"Saya sedar ramai yang bertanyakan mengenai apa yang berlaku antara saya dan Aedi.

"Saya harap sidang media ini menjelaskan segala-gala yang berlaku. Ia hanya lakonan saja," katanya.

Pemilik nama penuh Nur Nabila Mohd Razali, 25, itu ditemui pada sidang media pelancaran muzik video Pematah Hati di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-10 itu dia juga maklum kemungkinan promosi yang dirancang pihak pengurusan itu bakal mencetuskan kemarahan dan kebencian peminat terhadapnya.

Menurut Nabila, dia langsung tidak berniat menjadikan keadaan itu tidak terkawal cuma berharap penonton dapat memahami jalan cerita yang ingin disampaikan.

"Pada awal saya tidak menyangka klip video itu akan menjadi tular hingga menjadi kontroversi tapi publisiti buruk masih tetap dianggap sebagai publisiti untuk saya.

"Ia juga dapat membuka peluang untuk saya ditawarkan berlakon dalam mana mana produksi selepas ini," katanya.

Terdahulu, khabar angin mula bertebaran apabila Nabila memuat naik gambar mesra bersama Aedy Ashraf dengan kapsyen romantis tetapi tanpa sebarang penjelasan lanjut.

Selain menyanyi Nabila juga membabitkan diri dalam dunia lakonan.

Antara drama pernah dilakonkan Hikayat Cinta Si Pematah Hati.

Lihat Komen
ADS