Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana Tak Tun Tuang Upiak hilang suami, dibenci mentua

Tampil kelihatan ceria sentiasa - tak tun tuang, tak tun tuang - tidak bermakna tiada kisah sedih melatari hidup penyanyi berasal dari Padang, Indonesia, Upiak, atau nama sebenarnya Silvia Nanda.

Satu daripadanya - tak tun tuang, tak tun tuang - dia tidak lagi menjadi menantu kepada wanita yang mencadangkan agar dia menjalani uji bakat supaya kariernya sebagai penyanyi lebih menyerlah.

“Keluarga bekas suami pernah menyuruh saya menjalani uji bakat supaya lagu lagu dinyanyikan boleh menjadi tular dengan cepat.

“Malangnya, apabila lagu saya Tak Tun Tuang menjadi tular, saya bukan lagi menantu dia, malah dituduh pula kurang siuman kerana lagu dinyanyikan itu.

“Hal ini terjadi mungkin kerana kami tiada keserasian dan ibu mentua tidak menyukai saya,” katanya dengan nada sesal.

Upiak, 31, ditemui pada sidang media menandatangani kontrak sebagai artis di bawah naungan MVM di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Upiak, dia berdepan cabaran lebih getir apabila apabila suami dikasihi itu bukan saja meninggalkannya tetapi turut berkahwin baru.

“Saya berkahwin pada 2013 tetapi bercerai dua tahun kemudian kerana suami sudah menemui wanita lain dalam hidupnya.

"Saya menangis kerana mengenangkan nasib selama tiga hari berturut-turut ketika solat.

“Betapa mudahnya suami meninggalkan saya sedangkan terlalu banyak pengorbanan telah saya lakukan sebagai seorang isteri,” katanya.

Semua ketentuan Tuhan

Nama Upiak mula disebut-sebut selepas klip video Tak Tun Tuang memaparkan dia menari dan menyanyi sambil memakai kain sarung, selipar besar dan baju tidur dikongsi pengguna alam maya.

Untuk rekod, selain di negara ini, Tak Tun Tuang yang dihasilkan tiga tahun lalu turut menjadi buah mulut orang ramai di Thailand, Singapura dan Brunei.

Pun begitu sebenarnya Upiak bukanlah orang baru dalam dunia nyanyian.

Setakat ini, sudah 19 album diterbitkan dan tidak ada satu pun daripadanya menampilkan Upiak tanpa berkain sarung.

Berkongsi lanjut mengenai suka duka dalam hidupnya, Upiak yang bekerja sebagai jururawat itu berkata dia mula menyanyi sejak berusia 13 tahun bagi membantu ibunya.

“Hidup saya memang susah dari awal. Kami tiga beradik pernah tidak ada wang untuk masak dan ibu hanya mampu merebus cili untuk beri kami makan.

“Tetapi bersyukur saya kerana Tak Tun Tuang, hidup kami berubah sepenuhnya.

"Ini semua adalah ketentuan Tuhan,” katanya.

Apabila ditanya mengenai perancangan masa depannya, Upiak meluahkan hasrat untuk mempelbagaikan bakatnya di negara ini.

“Mungkin saya akan berhenti daripada menjadi jururawat satu hari nanti jika sudah terlalu sibuk malah tidak menolak sekiranya diberi kesempatan untuk menetap di sini.

“Saya ingin terus berkarya dan bercita-cita untuk mengembangkan karier sebagai pelawak pula di sini,” katanya.

Lihat Komen
ADS