Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jika dulu dia pernah dihina kerana lagu Tak Tun Tuang, penyanyi Indonesia Upiak kini boleh berbangga kerana mampu membuktikan dirinya bukanlah orang gila seperti yang disangkakan.

Sebelum lagu yang dihasilkan tiga tahun lepas itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini kata Upiak, dia hampir berputus-asa malah menangis tak henti-henti mengenangkan nasibnya sebagai penyanyi ketika itu kerana imejnya yang diperlekehkan.

"Apabila saya tampil memakai baju tidur, selipar besar dan kain sarung dalam klip video itu orang ramai menyangka saya orang gila. Sampai patah semangat dibuatnya sebab umum menuduh saya kurang beretika.

"Tetapi inilah keajaiban yang Tuhan berikan kepada saya lagu itu akhirnya menjadi viral hingga ke luar negara," katanya.

Imej berkain sarung itu juga dikekalkan dalam kesemua 19 album yang pernah dihasilkannya sepanjang 12 tahun berkecimpung dalam bidang seni suara.

Upiak atau nama sebenarnya Silvia Nanda, 31, ditemui pada sidang media menandatangani kontrak sebagai artis di bawah naungan MVM di Kuala Lumpur hari ini.

Klip video Tak Tun Tuang menjadi tular hingga mendapat 24 juta tontonan di YouTube sekali gus menarik minat MVM untuk melamar Upiak sebagai artis rakaman.

Nama Upiak kini mendapat tempat di hati peminat muziknya di Thailand, Singapura dan Brunei.

Jelaskan salah faham

Lagu berkenaan begitu hangat diperkatakan hingga ia dinyanyikan semula oleh beberapa artis tempatan termasuk Andi Bernadee, seorang artis tempatan yang mula mencipta nama menerusi aplikasi Smule.

Baru-baru ini sebuah akhbar menyiarkan laporan bahawa Upiak meninggalkan komen seolah-olah marah kerana tidak menyenangi lagunya itu dinyanyikan oleh orang lain.

Bagaimanapun, Upiak menjelaskan perkara itu sebenarnya cuma salah faham yang berlaku di antara dia dan Andi.

"Ia cuma salah faham kerana saya dari kampung dan tidak mengerti apa itu maksud sebenar lagu cover (dinyanyikan semula).

"Saya juga menyangka sekiranya Andi menyanyikan lagu itu orang ramai akan beranggapan dia penyanyi asal malah boleh mengaut keuntungan dari situ," katanya.

Menurut Upiak, segala salah faham sudah pun diselesaikan dan tiada lagi perkara berbangkit

"Saya sudah bertemu dengannya dan segala salah faham sudah berakhir malah Andi dianggap seperti adik kandung sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS