Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shashi Kapoor tinggalkan kesan besar pada Amitabh
Diterbitkan:  Dec 5, 2017 5:33 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Berita kematian aktor Shashi Kapoor semalam memberi kejutan buat ramai pencinta filem Bollywood termasuklah pelakon Amitabh Bachchan.

Selain hadir ke majlis pengebumian bersama anak lelakinya, Abhishek, dan anak perempuannya, Swheta, Amitabh yang diketahui umum mempunyai hubungan rapat dengan Sashi turut berkongsi kenangan pernah dilalui bersama pelakon veteran itu.

Melalui blog Amitabh yang ditulis panjang berjela dia berkongsi pengalaman itu di bawah tajuk “Untuk Shashi dari babbua anda” sempena memperingati aktor itu.

Babua bermaksud anak lelaki.

Amitabh mengenangkan saat dia dan Shashi bersama-sama menjalani sesi bergambar untuk sebuah majalah.

"Berdiri dengan elegan seolah-olah melupakan segala-gala yang ada di dunia ini, saya melihat dia berdiri di sebelah kereta Mercedes Sports - kenderaan boleh ubah, mempunyai misai dan janggut rapi, kagum dengan wajah kacak lelaki ini.

“Ia adalah imej yang memenuhi satu muka surat majalah itu. Shashi Kapoor anak lelaki Prithviraj Kapoor, adik kepada Raj Kapoor dan Shammi Kapoor dengan keterangan gambar mengenai kemunculannya dalam filem akan datang.

"Dengan fikiran tidak menentu saya pun berkata kepada diri sendiri, saya tidak ada peluang menjadi pelakon selagi ada lelaki macam dia," katanya.

Rambut tutup telinga

Legenda yang terkenal sejak era 1970-an itu menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Mumbai, India. Dia berusia 79 tahun.

Amitabh, 75, kemudian terus bercerita bagaimana pertemuan kali pertamanya dengan Shashi yang digambarkannya sebagai tokoh yang sentiasa merendah diri.

Katanya, sewaktu Shashi mendekatinya dan menghulurkan tangan sebagai salam perkenalan, lelaki itu biasanya akan mengeluarkan suara yang hampir tidak jelas kedengaran.

"Shashi Kapoor - katanya memperkenalkan diri walaupun dia sebenarnya tidak perlu melakukan perkara itu kerana semua orang mengenali dia," kata Amitabh.

Selain itu, Amitabh berkata dia pernah menerima cadangan diberikan Shashi mengenai gaya rambut yang digunakannya hingga ke hari ini.

"Shashi memberikan idea begini... hey, kamu mungkin perlu ambil kira untuk menutup telinga dengan rambut juga.

"Dan kemudian saya pergi ke tukang gunting rambut di Hotel Taj dengan rancangan itu dan melaksanakannya... ia kekal hingga ke hari ini," katanya.

Pada masa sama, Amitabh juga mengulas mengenai kesihatan Shashi yang semakin merosot.

"Dia jatuh sakit. Mungkin dia merelakan perkara itu selepas isteri dicintainya, Jennifer, meninggal dunia.

"Saya pernah beberapa kali melawat dia di hospital tetapi tidak mahu berbuat demikian selepas itu kerana tak sanggup melihatnya dalam keadaan sakit sebegitu," katanya.

Amitabh dan Shashi pernah bergandingan dalam beberapa filem seperti Deewaar, Suhaag, Kabhie Kabhie, Silsila dan Namaak Halaal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS