Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Sheila lebih mulia dari yang berkecuali beri nyawa kepada BN'
Diterbitkan:  Dec 6, 2017 12:41 PM
Dikemaskini: Dec 14, 2017 3:40 AM

Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin memuji Datuk Sheila Majid dan golongan artis yang tampil bersuara menyatakan ketiakpuasan hati terhadap keperitan rakyat dan berterima kasih kerana tidak berkecuali.

Menurut Hanipa, para artis dan penghibur seni yang bersuara meluahkan realiti keperitan rakyat sewajarnya dihormati dan bukannya dihina.

“Mereka cuma memberitahu kebenaran yang pahit. Malangnya, kebenaran adalah musuh di negara ini.

“Bagi saya, mereka jauh lebih mulia daripada mereka yang rasa mereka suci dan kerap kali bagi "nyawa" kepada MO1 dan Umno BN dan kerap kali berkecuali ketika berkecuali tidak diperlukan,” katanya melalui laman sosial facebook.

Meskipun tidak menyebutkan secara langsung, bekas peguam PAS itu dipercayai merujuk tindakan anggota parlimen PAS yang sering mengambil pendirian berkecuali ketika undian dilakukan di Dewan Rakyat.

"Apa pun, tahniah kepada artis- artis wanita yang bersuara itu..terima kasih kerana kamu semua memilih untuk tidak berkecuali!" katanya.

Semalam, Sheila membuat kenyataan melalui Twitter mengeluh berkenaan ekonomi negara, kos sara hidup tinggi, serta rakyat Malaysia yang sudah bosan dan marah kerana diperah untuk membayar hutang yang bukan berpunca daripada rakyat.

Kenyataan Ratu Jazz negara itu mendapat pujian daripada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir yang menyifatkan tindakan mereka adalah demi masa depan negara.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz semalam menyifatkan kenyataan Sheila itu sebagai meroyan dan menafikan kadar pengangguran di Malaysia berada dalam keadaan teruk.

"Dah biasa mewah, itu yang meroyan. Kalau ikut kenyataan dia ini, (negara) Eropah sekarang off track. Lebih teruk kadar pengangguran dari Malaysia," katanya yang juga merupakan Pengerusi Unit Media Baru (UMB) Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Artis lain yang baru-baru ini tampil membuat kenyataan pedas seumpamanya adalah pelakon Fathia Latiff yang beberapa kali lantang mengkritik kenaikan harga minyak selain dengan terbuka menyatakan sokongan terhadap Mahathir.

Pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi pula melalui program bual bicara dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertanyakan soalan berkenaan kos sara hidup selain menyarankan agar GST dihapuskan.

Lihat Komen
ADS