Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Jika ekonomi terjejas, kenapa tiket RM888 Shiela habis?'
Diterbitkan:  Dec 6, 2017 8:00 PM
â‹…
Dikemaskini: 12:38 PM

Kritikan ratu Jazz negara Sheila Majid berkaitan ekonomi negara turut mengundang reaksi pembantu khas isteri perdana menteri Rizal Mansor.

Pembantu Rosmah Mansor itu berkata, jika benar dakwaan Shiela itu tidak mungkin tiket konsertnya yang berharga sehingga RM888 sekeping boleh habis terjual.

“Ya, betul anda adalah ratu jazz negara dan dianggap legenda yang punya ramai peminat tetapi mampukah mereka untuk membeli tiket konsert yang berharga sehingga RM888 itu terjual jika ekonomi negara begitu terjejas,” soalnya.

Rizal juga bertanya kenapa kebanyakannya golongan umur pertengahan mampu membayar tiket konsert semahal itu jika benar hidup mereka terhimpit kesusahan.

 

A post shared by missmajid (@missmajid) on

Tiket konsert “Sheila Majid: The Concert KL 2017” di Stadium negara pada Ogos lalu dijual dengan harga RM888 (premium), RM688 (VVIP), RM488 (VIP), RM388, RM288, RM188 dan RM98.

Sheila menarik perhatian warga Internet apabila beliau mengeluh kos hidup yang tinggi dan nilai ringgit yang lemah di Twitter.

Pendirian tegas penyanyi Sinaran itu kini menjadi tular di Internet. Ia dilihat sebagai tamparan hebat kepada Umno kerana dibuat menjelang perhimpunan agung Umno di ibu negara yang bermula hari ini.

Kenyataan itu muncul selepas rakan artis Fathia Latiff membela bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berdepan laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkaitan kerugian Bank Negara pada 90-an yang tidak memihaknya.

'Tak semua dalam kawalan kerajaan'

Menulis di Facebook, Rizal juga berkata, sebagai artis veteran yang banyak pengalaman dan pengaruh, Shiela sepatutnya faham bahawa banyak hal ehwal ekonomi bukan dalam kawalan kerajaan.

Kata Rizal, faktor luaran turut menyumbang kepada kemerosotan nilai ringgit dan peluang pekerjaan.



Beliau juga membela kerajaan BN yang menurutnya berusaha setiap hari membawa masuk pelaburan dan menerusi pelbagai inisiatif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Datuk Sheila mungkin hidup senang lenang dan mewah selama ini kerana banyak mendapat tawaran menyanyi di majlis makan malam korporat dan ketahui dan sedarilah, semua ini tidak mungkin dapat dinikmati selama ini jika bukan hasil kerja keras kerajaan BN.

“Kalaupun tidak terluah kata-kata terima kasih atau menghargai limpahan rezeki selama ini, jangan pula memesongkan pemikiran masyarakat dengan fakta yang tidak benar, apatah lagi menjadi alat propaganda untuk pembangkang,” katanya.

Lihat Komen
ADS