Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hanya artis primadona saja layak tegur kerajaan - Azwan Ali

Perang mulut dan hentam-menghentam antara artis dan ahli politik mahu pun sesama penggiat seni berhubung kos sara hidup serta dasar kerajaan mengisi topik perbualan umum kebelakangan ini.

Dalam polemik itu, Azwan Ali tampil sebagai selebriti yang dilihat tajam mengecam artis yang mengkritik kerajaan.

Menurut Azwan, beliau sebenarnya tidak kisah dengan kritikan yang dibuat artis dalam menegur kepimpinan kerajaan namun mereka seharusnya terlebih dulu sedar diri.

Jelas Azwan, hanya artis yang bergelar primadona saja dilihat layak untuk membuat teguran dan bukan "budak hingus meleleh" atau artis baru.

“Tak salah artis-artis untuk menyatakan pendirian mereka tapi sedar-sedar diri.

“Dia (Fathia Latif) siapa? Dia ting tong tahu tak? Dia bukan Ramlah Ram, tengok sumbangan dia, lagu demi lagu. Atau siapa pelakon Malaysia yang hebat, Erra Fazira (misalnya).

“Kalau Erra Fazira yang bidas saya tak kisah. Tapi Erra yang primadona itu pun diam saja, kau (Fathia) siapa? Berlakon pun ting tong.

“Hingus meleleh lagi,” kata Azwan ketika ditemui Malaysiakini.

Mengulas lanjut berhubung kenyataan ratu Jazz negara Datuk Sheila Majid, Azwan berkata beliau mengakui teguran yang dibuat penyanyi itu betul tapi dirinya tetap marah.

Tegas Azwan ini kerana beliau mendakwa Sheila hidup mewah dan “satu dunia" tahu kemewahan miliknya itu datang daripada kerajaan.

“Datuk Sheila punya point itu bukan tak betul tapi kita marah sebab dia mewah.

“Kau dah ada (pangkat) Datuk dan saya dah bantai pun kenapa kau mesti meroyan, kau sibuk kos sara hidup tapi harga tiket konsert kau sampai RM900, kau dah kenapa?" soal Azwan.

“Satu dunia tahu dia mewah dan kalau kau mewah dapat pula hasil kerajaan, dapat Datuk itu yang kita bantai, bukan kata tak layak bersuara,” katanya.

Tegur Rosmah

Menurut pengacara program televisyen itu lagi, Sheila boleh membuat teguran tetapi biarlah secara profesional seperti menemui perdana menteri sendiri.

“Kalau dia jujur mesti dia ada cara untuk tunjuk hormat tentang pengiktirafan dia. Apa-apa persembahan pun kerajaan ambil dia.

“Kalau saya jadi dia saya nak mengadap Najib secara langsung. Takkanlah Najib tak nak jumpa dia, cakap depan-depan tapi jangan sindir-sindir macam itu.

“Malulah, nampak sangat macam artis tak sekolah,” kata Azwan.

Polemik antara artis dan ahli politik menjadi hangat selepas Sheila sebelum ini membuat kenyataan berhubung kos sara hidup tinggi dan kecewa dengan pihak tertentu yang tidak “menumpukan tugas membawa negara kembali ke landasan yang betul”.

Kenyataan Sheila itu telah mewujudkan pelbagai reaksi dan maklum balas daripada ahli politik dan artis.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memuji artis yang berani tampil bersuara, sementara pengacara AzwanAli mengecam kenyataan Sheila.

Menurut Rizal, sekiranya benar ekonomi dalam keadaan teruk, tiket konsert Sheila yang berharga RM888 sekeping tidak akan habis terjual.

Tambah Azwan beliau juga ada membuat teguran kepada pentadbiran kerajaan termasuk isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Namun, kata Azwan sehingga kini tidak ada sebarang tindakan dikenakan kepada beliau sebaliknya Rosmah terhibur dengan tegurannya.

“Tengok Rosmah ‘blower’rambut pun saya komen tapi saya tak pernah kena apa-apa tindakan sebab saya rasa Kak Mah pun tersenyum dengan coretan saya.

“Sebab kita ada had, kita mengusik atau menegur dia tapi kita tahu jangan melampau,”kata Azwan.

Azwan mencipta nama dalam dunia hiburan dengan kemunculannya sebagai pengacara di TV3.

Memperoleh kelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang imej Azwan memang masih dikenang ramai terutama di kalangan peminat berusia antara 40an 50an.

Lihat Komen
ADS