Selepas puluhan tahun bergelumang dalam dunia muzik, buat julung kalinya dua kumpulan rock legenda tempatan Cromok dan XPDC bakal berkongsi pentas melalui konsert Metal Legends Live in Concert di Maeps, Serdang, pada 3 Februari tahun depan.
Pemain gitar Cromok, Karl, berharap penantian peminat mereka akan terubat dengan persembahan malam itu nanti.
“Dah lama kami tidak beraksi di konsert. Jadi, menerusi konsert ini bukan kami sahaja yang dapat mengubati kerinduan untuk beraksi tetapi peminat juga dapat sama-sama mengenang kembali memori lama mereka bersama Cromok,” katanya dalam satu kenyataan.

Cromok adalah kumpulan yang dianggap perintis muzik thrash metal tempatan dan sudah 31 tahun berada dalam industri muzik.
Selain Karl, Cromok turut dianggotai Sam selaku pemain bes dan Miji (dram).
Cromok cukup dikenali dengan lagu mereka seperti Another You, I Do Not Belong Here, Misty dan Memories.
Sementara itu, kumpulan XPDC yang sudah beraksi selama 28 tahun dalam dunia seni tempatan tidak terlepas daripada menyatakan keterujaan mereka untuk beraksi bersama Cromok.
“Pastinya XPDC akan memberi persembahan terbaik untuk konsert ini. Kami sendiri tidak sabar untuk beraksi bersama-sama dengan Cromok,” kata Zuar yang juga merupakan pemain bes kumpulan XPDC.
Selain Zuar, XPDC yang turut dikenali dengan gelaran King of Stage itu turut dianggotai oleh Mael selaku vokalis, Jeff (gitar) dan Amy (dram).

Bukan XPDC dan Cromok sahaja yang akan menjadi tumpuan pada malam itu, sebaliknya konsert berkenaan turut menampilkan sistem bunyi yang cukup mantap dengan penggunaan sejumlah 64 subbass.
Konsert ini juga menelan kos perbelanjaan lebih dari RM500,000.
Konsep untuk konsert pada malam itu direka oleh Karl Cromok yang akan membuat penonton 'terbang' dalam arena muzik metal kedua-dua kumpulan.
