Ujian Allah sentiasa datang dalam pelbagai bentuk tidak diduga. Ada yang dikurniakan kesihatan tetapi tidak kurang perlu mendepani cabaran begitu berat seperti penyakit kanser.

Kepada mana-mana pesakit kanser, mungkin di kala ini sokongan dan doa adalah jawaban yang sangat diperlukan daripada orang di sekeliling.

Itu yang didepani penyanyi Elyana yang baru-baru ini membuat pengumuman menggemparkan apabila mengakui dia menghidap kanser limfoma tahap empat.

Ia dinyatakannya selepas tersingkir dari program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Malam ini dia meluahkan perasaan dialaminya ketika ini.

Menurut Elyana, kenyataannya itu ditujukan kepada pihak yang sering menuduhnya menipu untuk meraih perhatian.

“Jika tidak ada apa-apa yang baik untuk dikatakan, ditulis dan di lakukan, lebih baik diam,” katanya dalam Instagram.

Di samping status berkenaan, Elyana turut memuat gambar dia berbaring di atas katil sebuah hospital.

Dalam nada sinis, Elyana berterima kasih kepada pihak yang menuduh dan melemparkan kata-kata penghinaan kepadanya.

“Terima kasih kerana menghina wanita ini. Terima kasih juga kepada yang mendoakan dia cepat mati.

“Terima kasih juga yang menggambil kesempatan. Terima kasih kerana menuduh saya inginkan perhatian. Terima kasih juga kepada yang menuduh tanpa bertanya cerita sebenar.

“Terima kasih kepada anda yang mengatakan saya berbohong. Terima kasih untuk anda yang gembira apabila saya sering di malukan di khalayak ramai.

“Terima kasih semua... Tak apa lah... mungkin anda belum lagi merasa apa yang saya rasa selama ini,” katanya lagi.

Kita semua akan mati

Terdahulu, Elyana berkata penyakit limfoma itu sudah dihidapinya selama tujuh tahun. Penyakit itu juga membuatnya sukar tidur malam.

"Sudah tujuh tahun saya menghidap kanser limfoma. Ia menyebabkan saya sentiasa berasa takut dan susah nak tidur malam sebab takut tak bangun esok pagi.

"Kanser ini telah merebak ke jantung, paru-paru dan semua bahagian lain badan. Itu sebab saya bimbang kalau-kalau jantung tiba-tiba terhenti semasa saya tidur," katanya.

Baru-baru ini pula, tercetus semacam konflik antara Elyana dan penaja utama GV4 Datuk Seri Vida mengenai produk kesihatan yang dipromosi ketika rancangan itu bersiaran secara langsung.

Elyana yang ditemu bual di atas pentas ketika itu mengatakan dia mengambil produk kesihatan berkenaan sebagai menghormati Vida.

Bagaimanapun, tidak berapa selepas itu, melalui Instagram Live dibuatnya, penyanyi yang popular dengan lagu Kalis Rindu dan Tak Tercapai Akalmu itu mendedahkan perkara sebaliknya.

 

 

Terima kasih kerana menghina wanita ini.Terima kasih juga kepada yang mendoakan dia cepat mati.Terima kasih juga yang menggambil kesempatan.Terima kasih kerana menuduh saya ingin kan perhatian.Terima kasih juga kepada yang menuduh tanpa bertanya cerita sebenar.Terima kasih kepada anda yang mengatakan saya berbohong.Terima kasih untuk anda yang gembira apabila saya sering di malukan di khalyak ramai. Terima kasih semua.. Tak apa lah..mungkin anda belum lagi merasa apa yang saya rasa selama ini. Saya juga sama seperti anda semua manusia biasa,tidak kuat..punya keinginan,punya cita-cita, ingin merasa sihat tanpa menahan sakit.Tapi ini takdir saya.Saya terima. Kita semua akan mati.Bukan pesakit Kanser sahaja.Saya harap kita jaga amalan kita sendiri.Jika tidak ada apa-apa yang baik untuk dikatakan, ditulis dan di lakukan ,lebih baik diam. Saya Elyana pesakit Kanser Stage 4? #chemosewaktubulanpuasatahunini

A post shared by Elyana (@elyanaofficial) on

 

Kata Elyana pesakit kanser seeloknya mengelakkan mengambil sesuatu produk yang mengandungi gula yang tinggi.

Menurut Elyana, tiada mana-mana manusia di dunia ini yang ingin merasai pengalaman dilaluinya.

Dan sebagai manusia, Elyana akur dengan takdir dan menerima ketentuan Ilahi, cuma satu pintanya agar pihak yang gemar menuding jari supaya menjaga tepi kain sendiri.

“Saya juga sama seperti anda semua manusia biasa,tidak kuat... punya keinginan, punya cita-cita, ingin merasa sihat tanpa menahan sakit. Tapi ini takdir saya. Saya terima.

“Kita semua akan mati. Bukan pesakit kanser sahaja. Saya harap kita jaga amalan kita sendiri,” katanya sambil turut menulis: Saya Elyana pesakit kanser stage 4?